Guna cadar dan bantal lepaskan diri

Guna cadar dan bantal lepaskan diri

SYDNEY, 19 Ogos – Pihak berkuasa Australia hari ini berjanji akan mengkaji semula keselamatan selepas seorang banduan menggunakan cadar dan bantal untuk memanjat tembok yang dipagari kawat duri dan melarikan diri daripada penjara yang dikawal ketat itu.

Perompak bersenjata Stephen Jamieson melakukan percubaan melepaskan dirinya semalam dan sedang melarikan diri dalam sebuah kereta dicuri selama 10 jam sebelum polis menggunakan helikopter dan anjing berjaya mengejarnya kira-kira 100 kilometer dari penjara.

Pesuruhjaya Perkhidmatan Penjara New South Wales Peter Severin berkata kejadian melarikan diri dari penjara di Goulburn, kira-kira 200 kilometer dari Sydney, tidak sepatutnya berlaku.

“Respon polis New South Wales adalah segera dan menyeluruh,” kata beliau.

“Ia adalah kejadian amat serius yang tidak seharusnya berlaku.”

Beliau mengumumkan kajian menyeluruh mengenai kejadian itu oleh pakar keselamatan.

Severin berkata Jamieson, 28, melepaskan diri selepas memotong pagar besi di belakang laman senaman yang kecil. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA