Guna dron cuba seludup dadah ke penjara

Guna dron cuba seludup dadah ke penjara

WASHINGTON, 25 Ogos (AFP) – Dua lelaki ditahan oleh pihak berkuasa negeri Maryland kerana disyaki cuba menyeludup dadah dan pornografi ke dalam penjara dengan menggunakan dron, menurut para pegawai pemulihan semalam.

Marijuana sintetik dan DVD pornografi adalah di antara bahan-bahan yang kedua-dua lelaki terbabit cuba untuk terbangkan ke dalam penjara negeri itu di Cumberland.

“Anda tidak boleh melakukan cara sebegini,” Setiausaha Ketenteraam Awam Maryland, Stephen Moyer dipetik sebagai memberitahu para wartawan tempatan.

Jabatan Ketenteraman Awam Maryland dalam kenyataannya berkata bahawa kedua-dua suspek diberkas di sebatang jalan raya yang menghala ke Institusi Pemulihan Western.

Di dalam kenderaan mereka, pihak berkuasa menemukan pesawat dron quadracopter dan konsol kawalan jauhnya, selain selaras senapang patah, dakwa kenyataan itu.

Kedua-dua suspek kini sedang ditahan di Cumberland – seorang dengan ikat jamin AS$250,000 dan seorang lagi tanpa ikat jamin – kerana disyaki berkomplot menggunakan dron untuk “penghantaran” bahan terlarang ke dalam penjara.

Seorang penghuni penjara itu disyaki terbabit dalam usaha yang menemui kegagalan tersebut juga berdepan dakwaan selepas penggeledahan di bilik kurungannya menemukan bahan terlarang tersebut, kata kenyataan itu.

Adalah dipercayai ini adalah kali pertama di Maryland apabila para penyeludup ditangkap menggunakan dron untuk penghantaran dadah.