Guna Dron serang Al-Qaeda dan IS

Guna Dron serang Al-Qaeda dan IS

ADEN, 12 Julai (AFP) – Dua serangan peluru berpandu daripada dron Amerika Syarikat (AS) di selatan Yaman hari ini membunuh 10 orang dipercayai anggota Al-Qaeda termasuk tiga pemimpin tempatan.

Serangan itu menyasarkan sebuah kenderaan dan kontena yang sarat muatan berhampiran pelabuhan Mukalla, ibu negeri Hadramawt, kata pegawai kerajaan.

Serangan dron itu memusnahkan kontena senjata berkenaan, kata pegawai itu.

Kematian berkenaan menjadikan keseluruhan 23 anggota Al-Qaeda dibunuh menerusi serangan sebegitu dalam tempoh tidak sampai tiga minggu.

Minggu lalu, AS mendakwa sudah membunuh timbalan pegawai pemerintah global Al-Qaeda, Nasir al-Wuhayshi, yang turut mengetuai operasi di Yaman.

Di rantau Teluk, AS mempunyai pangkalan tentera di Arab Saudi dan Djibouti.

Sementara itu, ketua kumpulan Negara Islam (IS) di wilayah Afghanistan-Pakistan juga terbunuh dalam serangan dron di timur Afghanistan, menurut pegawai dan perisikan dan pemerintah militan.

Agensi perisikan Afghanistan, NDS, menyatakan Hafiz Saeed adalah antara 30 kader IS yang terbunuh dalam serangan di wilayah Nangarhar berhampiran sempadan Pakistan semalam.

“Hafiz Saeed, ketua IS di Afghanistan dan Pakistan terbunuh dalam serangan dron malam tadi,” menurut NDS dalam satu kenyataan hari ini.

Dua komander sayap IS di Afghanistan yang menyatakan mereka berada di lokasi serangan itu, mengesahkan kematian Saeed kepada AFP.

Kehadiran IS di Afghanistan masih pada peringkat awal dan kematian Saeed menjejaskan usaha kumpulan itu untuk berkuasa di negara berkenaan.