Guna ilmu dipelajari raih kejayaan

Guna ilmu dipelajari raih kejayaan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Dis – Seramai 139 orang pelatih diraikan di Majlis Perbarisan Tamat Kursus dan Penyampaian Hadiah bagi pelatih-pelatih terbaik Program Pembangunan Belia Sesi Julai 2015 yang berlangsung di Pusat Pembangunan Belia, Kampung Tanah Jambu, hari ini.

Penyampaian sijil disempurnakan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dato Paduka Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Dato Paduka Dr. Haji Affendy dalam ucapannya menggesa para pelatih agar menggunakan ilmu pengetahuan yang diperoleh dengan sebaik-baiknya untuk meraih kejayaan dalam kehidupan.

Ilmu pengetahuan itu boleh digunakan sebagai asas kepada bukan sahaja kerjaya masa depan mereka tetapi untuk meneroka peluang-peluang perniagaan bagi meraih kejayaan di masa akan datang, katanya.

Turut hadir di majlis berkenaan ialah pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai, tenaga pengajar dan kakitangan Pusat Pembangunan Belia serta ibu bapa dan keluarga para pelatih berkenaan.

Dato Paduka Dr. Haji Affendy memeriksa perbarisan.
Dato Paduka Dr. Haji Affendy memeriksa perbarisan.
Dato Paduka Dr. Haji Affendy menyampaikan hadiah kepada Awang Muhd Sabri Yunus.
Dato Paduka Dr. Haji Affendy menyampaikan hadiah kepada Awang Muhd Sabri Yunus.

Sepanjang enam bulan mengikuti kursus tersebut, pelatih-pelatih telah mengikuti pelbagai kursus termasuk teknologi komunikasi maklumat, Autocad, kulinari dan bankuet, pastri dan konfeksionari, terapi kecantikan, rekaan fesyen dan teknologi, kimpalan dan fabrikasi, pemasangan paip air domestik, kursus penyaman udara serta kursus membaik pulih badan kenderaan yang bermula dari Julai hingga Disember 2015.

Pada majlis itu juga, seramai 29 orang pelatih telah menerima anugerah mereka sebagai hadiah galakan dan dua peserta iaitu Awang Muhd Sabri Yunus bin Muhd Yusuf dipilih sebagai pelatih lelaki terbaik keseluruhan Program Pembangunan Belia sesi Julai hingga Disember 2015 manakala Dayang Norbaizurah binti Mohamad pula dipilih sebagai pelatih perempuan terbaik keseluruhan.

Persembahan kawad oleh para pelatih.
Persembahan kawad oleh para pelatih.

Majlis diadakan bagi memupuk sikap memajukan diri sendiri dan tanggungjawab pada diri dan orang lain, mendisiplinkan pelatih-pelatih khususnya program tatacara yang terkandung dalam program pembangunan diri, mengiktiraf pelatih-pelatih yang cemerlang melalui penyampaian hadiah terbaik serta memberikan kesedaran kepada para peserta akan pentingnya menjaga nama negara dan meningkatkan semangat patriotik mereka.

Majlis turut menyaksikan para pelatih bergambar-ramai bersama Dato Paduka Dr. Haji Affendy dan majlis perpisahan yang diadakan di pusat berkenaan yang menandakan berakhirnya program latihan kemahiran dan program pembangunan diri selama 6 bulan sebelum mereka mengikuti program penempatan yang bermula Januari 2016 nanti.

ARTIKEL YANG SAMA