Guna Internet sebaiknya

Guna Internet sebaiknya

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Mei – Ibu bapa dan juga ahli keluarga diseru untuk mengingatkan anak-anak atau ahli keluarga remaja mereka bahawa Internet merupakan satu alat yang berguna jika digunakan secara betul untuk menimba ilmu tetapi mereka harus juga peka untuk tidak mudah terjerat dalam perangkap mereka yang kurang bertanggungjawab.

Pemangku Penolong Pengarah Urusan, Agensi Pelaburan Brunei (BIA) dan ahli Lembaga Gabenor, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Awang Ahmad Jefri bin Abdul Rahman membuat seruan itu ketika menyampaikan ceramah bertajuk, ‘Internet Regulation: Fact or Fiction’, di Pusat Sumber Pelajar, IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal, hari ini.

Menurut beliau, isu mengenai maklumat dan penggunaan maklumat dalam talian bukan satu teori semata-mata atau sesuatu yang berlaku di negara luar sahaja tetapi ia berlaku juga di Brunei.

Menurutnya, Internet adalah sukar untuk dikawal selia kerana Internet itu bukannya dimiliki oleh seorang pemilik dan tiada seorang individu atau organisasi yang mengawal Internet itu secara keseluruhannya.

“Internet itu ialah satu konsep dan ia bergantung pada infrastruktur fizikal untuk menghubungkannya dari satu rangkaian kepada rangkaian yang lain.”

Awang Ahmad Jefri menyampaikan ceramahnya bertajuk, ‘Internet Regulation: Fact or Fiction?’
Awang Ahmad Jefri menyampaikan ceramahnya bertajuk, ‘Internet Regulation: Fact or Fiction?’

Semasa ceramah itu, beliau turut membincangkan mengenai impak Internet dalam kehidupan harian dan mengongsi mengenai undang-undang yang terdapat bagi mengawal selia alam sekitar atas talian termasuk dasar-dasar yang dilaksanakan di Negara Brunei Darussalam.

Ceramah itu dihadiri oleh lebih daripada 60 orang pelajar jurusan Diploma Maklumat dan Sains Perpustakaan serta HNTec dalam Teknologi Maklumat di bawah Sekolah Maklumat dan Teknologi Komunikasi (ICT) serta juga guru-guru dari Sekolah ICT.

Di akhir sesi ceramah itu, para pelajar berpeluang untuk membentangkan pendapat dan mengajukan soalan berhubungan dengan undang-undang Internet dalam konteks tempatan.

ARTIKEL YANG SAMA