Guna kapal selam cari pesawat EgyptAir

Guna kapal selam cari pesawat EgyptAir

KAHERAH, 22 Mei (Reuters) – Mesir mengerahkan sebuah kapal selam hari ini untuk mencari pesawat EgyptAir yang terhempas ke dalam perairan Mediterranean, Presiden Abdel-Fattah al-Sisi mengatakan, memberi amaran penyiasatan ke dalam nahas itu akan memakan masa.

Dalam kenyataan awam pertamanya mengenai nahas pada Khamis lalu ke atas pesawat Airbus A320 yang membunuh semua 66 orang di dalamnya, Sisi juga mengatakan kesemua senario kemungkinan masih lagi dipertimbangkan dan memberi amaran agar tidak tergesa-gesa membuat kesimpulan.

“Peralatan menyelamat sudah dibawa daripada kementerian minyak, mereka mempunyai sebuah kapal selam yang boleh sampai ke kedalaman 3,000 meter di bawah air,” beliau memberitahu menteri dan ahli parlimen pada pembukaan sebuah kilang baja di bandar pelabuhan Damietta.

“Ia bergerak ke arah tapak nahas pesawat hari ini kerana kami sedang bekerja keras untuk mendapatkan kotak hitam.”

Mesir mengatakan tentera lautnya setakat ini sudah menemui rangka manusia, serpihan kapal terbang dan barangan milik penumpang terapung di Mediterranean kira-kira 290km ke utara Alexandria, namun masih mencari dua perakam kotak hitam pesawat yang boleh memberikan bukti bernilai bagi punca nahas.

Gambar imej pegun diambil dari video diposkan pada Sabtu di laman rasmi Facebook jurucakap Angkatan Bersenjata Mesir menunjukkan beberapa barangan milik penumpang dan serpihan lain dari pesawat EgyptAir 804. – AP
Gambar imej pegun diambil dari video diposkan pada Sabtu di laman rasmi Facebook jurucakap Angkatan Bersenjata Mesir menunjukkan beberapa barangan milik penumpang dan serpihan lain dari pesawat EgyptAir 804. – AP

Perairan di kawasan Mediterranean yang merupakan perimeter pencarian boleh jadi 3,000 meter dalam yang boleh menempatkan alat pengesan kotak hitam di pinggir jarak boleh dikesan daripada permukaan.

Sejurus sebelum ia hilang daripada skrin radar, pesawat itu menghantar satu siri amaran menunjukkan bahawa asap dikesan di dalamnya, menurut penyiasat Perancis semalam.

Isyarat itu tidak menunjukkan apa punca asap atau kebakaran namun ia menawarkan satu petunjuk pertama mengenai apa yang berlaku sejurus sebelum nahas.

“Sehingga sekarang semua senario adalah satu kemungkinan. Jadi, adalah penting kita tidak bercakap dan mengatakan terdapat senario khusus,” kata Sisi.

“Ini boleh mengambil masa yang lama namun tidak ada sesiapa yang boleh menyembunyikan perkara ini. Sebaik sahaja keputusannya keluar, orang ramai akan dimaklumkan.”