Guna media sosial martabatkan Bahasa Melayu

Guna media sosial martabatkan Bahasa Melayu

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Okt – Pengguna media massa terutamanya media sosial mencecah 4 bilion pengguna di dunia dan di Brunei sahaja, penggunaan media sosial mencatat statistik paling tinggi di Asia sebanyak 64 peratus pada tahun 2015 dan kedua tertinggi selepas Singapura dalam penggunaan Internet, sebanyak 81 peratus pada tahun 2015.

Meskipun terdapat keburukan dalam penggunaannya, namun kita tidak dapat mengabaikan kepentingannya dalam usaha memartabatkan Bahasa Melayu, sebagai sebuah bahasa yang penting di dunia, Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Hajah Nortijah binti Haji Mohd Hassan berkata demikian ketika berucap pada Majlis Syarahan MABBIM ke-9 bertajuk ‘Pemanfaatan Media Elektronik dan Media Cetak untuk Pengembangan Mesin Penerjemah’ yang berlangsung di Dewan Balai Sarmayuda, DBP hari ini.

Menurutnya lagi, media massa merupakan satu wacana paling berkesan dalam mempengaruhi pola pemikiran dan minda generasi yang mengikutnya.

Secara teori, maklumat tepat, autentik dan boleh dipercayai tersebar melalui media massa merupakan nadi yang berunsur persuasif yang dapat digunakan untuk menyampaikan pesanan, maklumat, informasi terkini kepada masyarakat pengguna, tambahnya.

Hajah Nortijah semasa berucap pada majlis itu.
Hajah Nortijah semasa berucap pada majlis itu.

“Dalam hal ini, dapat kita simpulkan bahawa media baru itu berperanan penting dalam mencetus daya kreativiti manusia dan bermanfaat untuk digunakan dalam mengangkat martabat Bahasa Melayu,” katanya.

Syarahan itu mengundang penceramah jemputan dari Institut Pusat Teknologi Informasi dan Komunikasi Badan Pengkajian dan Penerapan Teknologi Indonesia, Ir.Gunarso yang menyentuh mengenai kepesatan pertumbuhan Internet yang meningkatkan sumber daya teks digital dan memudahkan pengembangan mesin penterjemah, sekali gus memperkaya khazanah ilmu dalam Bahasa Melayu, menjadikannya bahasa ilmu yang tinggi.

Menurut Ir. Gunarso lagi, setakat ini banyak laman web memuat naik artikel dwibahasa sehingga memanfaatkan ramai pengguna, memudahkan lagi pengembangan mesin penterjemah.

ARTIKEL YANG SAMA