Guna Pakai Standard Pelaporan Kewangan Antarabangsa mulai 2018

Guna Pakai Standard Pelaporan Kewangan Antarabangsa mulai 2018

KUALA LUMPUR, 6 Dis – Syarikat Malaysia bersedia untuk mengguna pakai standard perakaunan global menjelang 2018, menurut Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia (MASB).

Pengerusinya, Mohamed Raslan Abdul Rahman berkata peralihan itu dilaksanakan dalam tiga peringkat.

Beliau berkata gelombang perubahan pertama pada Januari 2012 apabila entiti bukan swasta menggunakan Standard Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS), yang sama dengan Standard Pelaporan Kewangan Antarabangsa (IFRS), dikeluarkan oleh Lembaga Piawaian Perakaunan Antarabangsa (IASB).

Bagaimanapun, hanya 80 peratus daripada syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia mengguna pakai MFRS pada 2012.

Baki 20 peratus, yang terdiri daripada syarikat hartanah dan perladangan dibenarkan untuk meneruskan amalan semasa mereka memandangkan isu-isu perakaunan yang tidak dapat diselesaikan berhubung standard pertanian, ‘IAS 41’ dan tafsiran perakaunan bagi pembinaan hartanah, ‘IFRIC 15 ‘, katanya.

“Gelombang perubahan kedua dijadual dilaksanakan pada Januari 2016, apabila entiti swasta dikehendaki oleh undang-undang mengguna pakai rangka kerja pelaporan baharu, Standard Pelaporan Entiti Swasta Malaysia atau MPERS,” kata Mohamed Raslan kepada Bernama.

MPERS hampir sama dengan IFRS untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kecuali mengenai keperluan berkaitan hartanah. MPERS menggantikan PERS, yang tidak berubah sejak 2006.

“Menjelang Januari 2018, syarikat yang terlibat dalam industri pertanian atau hartanah dikehendaki oleh undang-undang untuk mematuhi rangka kerja MFRS.

“Sehubungan itu, menjelang 2018, semua syarikat di Malaysia melaporkan mengikut standard perakaunan global,” kata Mohamed Raslan.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif MASB Tan Bee Leng berkata lembaga itu mahu semua entiti bukan swasta mematuhi peraturan pada 2012.  – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA