Guna pasport adik, denda $1,400

Guna pasport adik, denda $1,400

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Mei – Seorang lelaki tempatan, semalam, dikenakan hukuman denda $1,400 oleh Mahkamah Majistret kerana melakukan dua kesalahan di bawah Akta Pasport, Bab 146.

Mohd Abdul Azim bin Haji Mohd Azahar, 22, yang tidak bekerja diberi tempoh sehingga 31 Disember 2015 oleh Majistret Awangku Shahyzul Khairuddien bin Pengiran Abd Rahman untuk membayar denda itu, dan jika gagal akan berdepan dua bulan penjara.

Tertuduh didakwa menggunakan pasport orang lain iaitu milik adiknya (Mohd Za’im Ifwandy bin Haji Mohd Azahar) untuk keluar dari negara ini melalui Pos Kawalan Imigresen Kuala Lurah pada 16 Mei 2014 kira-kira jam 4:04 petang dan juga pertuduhan memasuki negara ini melalui pos yang sama pada 19 Mei 2014 sekitar 9:30 pagi, juga menggunakan pasport adiknya.

Kesalahan di bawah seksyen 12(1) Akta Pasport, Bab 146 membawa kepada hukuman denda $10,000 dan penjara lima tahun.

ARTIKEL YANG SAMA