Guna saluran diplomatik bawa pulang mayat Then – Zahid

Guna saluran diplomatik bawa pulang mayat Then – Zahid

PUTRAJAYA, 23 Dis (Bernama) – Kerajaan Malaysia akan menggunakan saluran diplomatik untuk membawa pulang mayat rakyat Malaysia, Bernard Then Ted Fen, yang diculik dan dipenggal di selatan Filipina, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata usaha sedang dijalankan agar tuntutan ke atas mayat Then oleh keluarga mendiang dapat dijalankan dengan mudah.

“Kita nak bawa pulang secepat mungkin… kita sedang mengelolakannya,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Naib Presiden Zambia Inonge Mutukwa Wina di sini hari ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Sabtu lalu memaklumkan bahawa pihak berkuasa Filipina mengesahkan kepala yang dijumpai di Kepulauan Jolo di selatan Filipina adalah milik Then berdasarkan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Then, yang berasal dari Sarawak, diculik sekumpulan lelaki bersenjata di sebuah restoran makanan laut di Sandakan, Sabah pada 14 Mei lepas bersama-sama pengurus restoran itu, Thein Nyuk Fun, 50. Thein kemudian dibebaskan pada 8 Nov.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan cenderahati kepada Naib Presiden Zambia, Inonge Wina yang mengunjunginya di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra semalam. – Bernama
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan cenderahati kepada Naib Presiden Zambia, Inonge Wina yang mengunjunginya di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra semalam. – Bernama

Namun Then, 39, dipenggal kepalanya di lokasi terpencil di Kepulauan Jolo pada 11 Nov lepas.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata mesyuarat Kabinet semalam turut membincangkan beberapa perkara yang melibatkan soal sensitiviti kaum di negara ini.

Mengambil contoh soal perniagaan, Zahid berkata semua pihak perlu mengelak daripada melakukan sebarang perkara yang boleh mendatangkan rasa tidak puas hati antara peniaga dengan pelanggan.

“Jangan anggap semua perkara ada kaitan perkauman kerana akan memberi gambaran tidak baik kepada negara kita sedangkan keharmonian mahu kita pertahankan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata mesyuarat Kabinet yang dipengerusikannya semalam turut mengarahkan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta jabatan dan agensi berkenaan agar bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan bagi mempertingkat keselamatan di kawasan tumpuan orang ramai.

Katanya pihak berkenaan perlu mengenal pasti kawasan yang menjadi tumpuan pelancong tempatan terutama semasa cuti sekolah bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.