Guna saluran komunikasi dengan bijak

Guna saluran komunikasi dengan bijak

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Nov – Saluran komunikasi pada masa kini ibarat sebilah pisau yang jika digunakan dengan betul, akan membawa kebaikan manakala jika disalahgunakan akan mendatangkan kemudaratan.

Melalui saluran komunikasi seperti media cetak, media elektronik yang juga merangkumi Facebook, WhatsApp, Instagram, Twitter dan sebagainya, maklumat sama ada sahih atau tidak tersebar begitu cepat, sehingga ada yang menjatuhkan, mendedahkan aib orang lain serta memfitnah, kata khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini.

Menurutnya lagi, sebagai manusia, kadangkala kita mudah terlupa akan batas-batas agama dan dosa serta pahala ketika menyalurkan maklumat melalui saluran komunikasi canggih ini.

“Apa yang lebih dahsyat lagi, ada yang sanggup mencipta berita, dokumen dan gambar palsu yang disebarkan melalui Internet dan media sosial semata-mata untuk tujuan jahat,” tegasnya.

Khatib seterusnya menekankan, dalam pergaulan seharian menggunakan saluran komunikasi ini, perlu mengamalkan cara bergaul dan berkomunikasi menurut ajaran agama. Ini antaranya jangan berkomunikasi dengan cara merendahkan dan mencaci maki orang lain dan jangan mendedahkan keaiban seseorang atau menyebarkan keburukan seseorang.

Selain itu, jangan juga menggelar seseorang dengan gelaran yang tidak disukainya dan menjauhi daripada berprasangka buruk kerana ia boleh mendatangkan dosa.

Khatib juga menasihatkan agar tidak mengintip dengan niat jahat mencari kesalahan orang lain di samping menjaga tutur kata supaya tidak mendatangkan kemarahan orang lain.

Dalam perkara ini khasnya dalam penggunaan saluran komunikasi, tegas khatib perlunya bertanggungjawab atas setiap berita yang disampaikan dan memelihara kesahihannya.

Ini adalah supaya ia tidak mendatangkan pendustaan atau pembohongan, buruk sangka, permusuhan, fitnah, mencela, mengutuk, bertelingkah, mengumpat, melaknat dan sebagainya sehingga boleh membawa kepada berlakunya kekacauan dan permusuhan dalam masyarakat.

“Apakah yang akan berlaku kepada masyarakat dan umat Islam serta negara yang tercinta jika fitnah dan pembohongan menjadi trend dalam media-media sehinggakan ia menjadi perkara yang lumrah?” soal khatib.

Menurutnya, jika itu berlaku, ertinya kita sudah terperangkap dalam satu keadaan di mana nilai-nilai murni bangsa dan negara sebagai bangsa dan umat yang berbudi pekerti serta mengamalkan cara hidup berbaik-baik dan saling menghormati telah tiada lagi.

Dalam perkara ini, khatib mengingatkan supaya berkomunikasi dalam perkara yang bermanfaat dan bukan pada perkara yang sia-sia atau jika takut berkomunikasi dalam perkara yang boleh mendatangkan dosa, adalah lebih baik berdiam saja kerana itu lebih memberi manfaat daripada berkata-kata.

“Orang beriman, tidak akan bercakap dalam perkara yang sia-sia dan tidak berfaedah bagi mengelakkan daripada terjerumus dalam dosa dan masuk melemparkan tuduhan, menyebarkan fitnah, persangka buruk serta bercakap bohong,” tambahnya.

Khatib mengingatkan setiap apa yang disebarkan dan diberitakan pasti akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

ARTIKEL YANG SAMA