Guna teknologi dengan lebih bijaksana

Guna teknologi dengan lebih bijaksana

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Nov – Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) kelmarin, turut sama-sama meraikan Hari Kanak-kanak Sedunia 2015 sebagai sebahagian daripada komitmen Negara Brunei Darussalam yang telah meratifikasikan Konvensyen Hak Kanak-kanak dengan tema ‘Pilihan Bijak Untuk Masa Depan Yang Lebih Baik.’

Hadir merasmikan sambutan pada majlis yang berlangsung di KKBS, ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Pemangku Pengarah JAPEM, Hajah Noridah binti Haji Abdul Hamid dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan, sambutan ini merupakan aktiviti tahunan JAPEM bagi memperingati Hari Kanak-Kanak Sedunia yang diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk disambut pada 20 November setiap tahun.

Pada tahun ini, JAPEM selaku agensi fokal dalam isu kanak-kanak, memilih untuk memfokuskan tema dan format sambutan dalam artikel 34 di bawah konvensyen Hak Kanak-kanak yang berkaitan dengan perlindungan kanak-kanak daripada eksploitasi dan penderaan seksual.

Walau bagaimanapun, tambah beliau, penekanan sambutan pada tahun ini dikhususkan lagi kepada perlindungan kanak-kanak daripada eksploitasi dan penderaan seksual secara online.

Antara pelajar daripada 20 buah sekolah yang turut hadir pada majlis memperingati Hari Kanak-kanak Sedunia di KKBS, kelmarin.
Antara pelajar daripada 20 buah sekolah yang turut hadir pada majlis memperingati Hari Kanak-kanak Sedunia di KKBS, kelmarin.

Menurut beliau lagi, penekanan ini adalah berdasarkan trend jenayah siber yang membimbangkan di serata dunia di mana kebanyakan mangsa eksploitasi seksual dalam talian adalah kanak-kanak.

“Malangnya, negara kita juga mengalami kes-kes eksploitasi seksual secara online terhadap golongan kanak-kanak yang mudah terpedaya dan terpengaruh ini,” ujar beliau.

Menyentuh mengenai tema tahun ini, beliau berkata ia mengandungi unsur-unsur untuk memberi kesedaran kepada golongan yang dikasihi tentang bahaya jenayah siber dan pada masa yang sama memberi pengajaran kepada mereka bagaimana untuk menghindarkan diri daripada menjadi mangsa eksploitasi seksual online.

Format sambutan pada tahun ini ialah penyampaian taklimat, mengadakan program dan aktiviti kesedaran serta pemberigaan maklumat, dengan taklimat dan aktiviti kelmarin disertai oleh kira-kira 150 orang pelajar Tahun 9 hingga 11 dari 20 buah sekolah menengah.

Dayang Khairunnisa binti Ashari dari Majlis Belia Brunei, yang antara lain menyentuh mengenai fakta siber yang menurutnya apa yang dilihat dalam Internet tidak semesti betul dan benar 100 peratus.

Oleh itu, beliau menyeru kanak-kanak supaya akan lebih bertanggungjawab dan mendengar nasihat ibu bapa, guru-guru dan sebagainya serta menggunakan teknologi dengan lebih bijaksana.

Selepas taklimat, para pelajar dibahagikan kepada lima kumpulan mengikut ejaan ‘SMART’, di mana mereka akan membuat tip-tip mereka sendiri menggunakan ‘SMART’ yang disebarkan kepada rakan-rakan mereka.

Menurut kenyataan KKBS, bagi aktiviti pemberigaan, ia melibatkan residen kompleks rumah kebajikan untuk menghasilkan poster yang akan dimasukkan dalam ‘Baiduri Student Planner 2016’ dan akan diedarkan ke sekolah-sekolah.

Antara objektif sambutan ini adalah untuk mempromosikan kesejahteraan kanak-kanak di Negara Brunei Darussalam, meningkatkan pengetahuan dan kefahaman orang ramai mengenai cara untuk melindungi kanak-kanak daripada menjadi mangsa eksploitasi seksual dan penderaan disebabkan oleh interaksi yang kurang berwaspada dalam media sosial serta menyebarkan kesedaran mengenai Konvensyen Hak Kanak-Kanak dan Hari Kanak-Kanak Sedunia.

ARTIKEL YANG SAMA