Guna teknologi sebar sastera

Guna teknologi sebar sastera

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Mei – Usaha-usaha berterusan menyediakan program atau kursus di institusi pendidikan tinggi menawarkan penulisan kreatif sama ada dalam peringkat sijil, diploma atau ijazah perlu ditingkatkan untuk melahirkan penulis yang mampu menghasilkan sumber karya yang menjadi aspirasi negara.

Setiausaha Tetap (Media dan Kabinet) di Jabatan Perdana Menteri, Haji Mohd Rozan bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos menekankan perkara itu ketika merasmikan majlis Pertemuan Sasterawan Nusantara (PSN) ke-18 bagi tahun 2015 di Dewan Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka di Berakas hari ini.

Menurutnya lagi, untuk memartabatkan dan memperkenalkan lagi karya Nusantara ini, adalah lebih baik lagi ia diterjemahkan ke pelbagai bahasa terutamanya Bahasa Inggeris supaya pengaruh karya tidak hanya dinikmati pencinta sastera di rantau ini, malahan dapat dikaji dan dianalisis oleh sasterawan dunia.

“Para sasterawan harus mengambil kesempatan sepenuhnya dengan kemajuan teknologi kini dan pengaruh media sosial yang sangat meluas dalam memperkembangkan lagi karya sastera Nusantara,” tambahnya.

Penulis harus sentiasa bergerak aktif menyesuaikan kemajuan teknologi maklumat dan media sosial dalam menyalurkan dan menyebarluaskan karya mereka supaya lebih dikenali ramai di dalam skop yang lebih meluas, katanya.

Haji Rozan (tengah) bersama barisan tetamu khas majlis itu.
Haji Rozan (tengah) bersama barisan tetamu khas majlis itu.
Antara yang hadir ke majlis itu.
Antara yang hadir ke majlis itu.

Beliau turut menyatakan harapan supaya PSN kali ini akan menjadi medan pertemuan yang mencapai objektifnya dan mampu menghasilkan karya sastera yang berfungsi seperti yang diharapkan dan seterusnya memperlihatkan keterampilannya di peringkat serantau dan antarabangsa.

Terlebih dahulu majlis dibuka dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Ketua 1 ASTERAWANI selaku pengerusi PSN ke-18, Profesor Madya Ampuan Dr Haji Brahim Ampuan Haji Tengah.

Sejurus selepas ucapan oleh tetamu kehormat majlis, majlis diteruskan dengan penyampaian ucaptama yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Yahya bin Haji Ibrahim atau lebih dikenali dengan nama penanya Yahya MS.

Di majlis itu beliau menyampaikan ucaptama yang bertajuk “Semangat kebangsaan dan Cintakan Tanah Air dalam Syair-syair Al-Marhum Sultan Omar Ali Saifuddien.”

PSN ke-18 Tahun 1436/2015 ini akan berlangsung selama 2 hari bermula hari ini sehingga 30 Mei 2015.

ARTIKEL YANG SAMA