Guna wang syarikat untuk berjudi

Guna wang syarikat untuk berjudi

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_151106_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Nov – Mahkamah Perantaraan di sini, hari ini, menjatuhi hukuman penjara selama 12 bulan ke atas seorang lelaki Malaysia selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menyalahgunakan wang syarikat untuk tujuan berjudi.

Hakim Pengiran Hajah Hanani binti Pengiran Haji Metussain menjatuhkan hukuman itu ke atas Au Kok Tsen berusia 42 tahun.

Kertas pertuduhan menyebut, tertuduh yang bekerja sebagai juruteknik di Yusly Contractor telah menerima wang berjumlah $8,000 antara Ogos dan September 2015 daripada syarikatnya untuk membeli barangan yang diperlukan bagi pengubahsuaian rumah pelanggan.

Sekitar pertengahan September, pihak syarikat mendapati kerja pengubahsuaian rumah itu tidak dijalankan sepenuhnya.

Pemilik syarikat cuba menghubungi tertuduh, dan mendapatinya telah pulang ke Kota Kinabalu.

Pada 3 Oktober, tertuduh kembali ke Brunei dan apabila bersemuka dengan pemilik syarikat, tertuduh mengaku menggunakan wang itu untuk tujuan berjudi dan berjanji untuk membayar balik wang itu secara ansuran.

Dalam kejadian berasingan, pemilik syarikat turut mendapati salah seorang pelanggannya telah membayar $800 kepada tertuduh untuk kerja pengubahsuaian rumah yang dilakukan pada 22 September yang mana pembayaran itu tidak pernah diterima oleh syarikat.

Pemilik syarikat kemudian membuat laporan polis, dan tertuduh ditangkap pada 26 Oktober.

Tertuduh mengaku telah menerima wang $800 itu daripada pelanggan syarikat dan memberi $600 kepada tukang cat dan selebihnya $200 untuk dirinya.

Dia turut mengaku menggunakan $8,000 yang diamanahkan kepadanya oleh syarikat untuk tujuan berjudi di Labuan.

ARTIKEL YANG SAMA