Gunakan peluang sebaiknya

Gunakan peluang sebaiknya

Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 April – Brunei DPMM FC menunjukkan penguasaan dan corak permainan yang sangat baik sehingga berjaya membuka banyak peluang namun jika kita tidak memanfaatkan peluang yang ada, pasti pasukan seperti Albirex Niigata FC (S) akan mengambil kesempatan untuk mendenda sebarang kelekaan.

Perkara itu ditegaskan oleh Ketua Jurulatih Brunei DPMM FC, Steve Kean ketika ditemui yang kemudiannya menegaskan penalti yang berpihak kepada pasukan pelawat adalah wajar ekoran kekasaran dibuat ke atas pemain Albirex Niigata.

“Awangku Yura Indera Putera seorang pemain muda dan perlu menimba banyak pengalaman dan pastinya di masa akan datang beliau perlu mengawal bola terlebih dahulu berbanding lawan sebelum cuba melambatkan pergerakan lawan sebagai alternatif pertahanan,” ujar Steve Kean.

Menurutnya, kedua-dua jaringan terhadap Pasukan Brunei DPMM FC berpunca daripada kesilapan dan kelekaan pertahanan dan perkara ini katanya sering diperingatkan kepada semua pemain dan menegaskan supaya ia menjadi teladan untuk memperbaiki keadaan dalam perlawanan akan datang.

Steve Kean ketika ditemu bual oleh pihak media.
Steve Kean ketika ditemu bual oleh pihak media.

“Permainan kita sangat meyakinkan pada babak pertama dan berbanding perlawanan menentang Pasukan Albirex sebelum ini kita jarang mempunyai banyak peluang namun seperti yang saya tekankan jika peluang tidak diambil, mereka pula akan mendenda kita,” ujarnya

Beliau mengakui kecewa dengan keputusan itu namun fasa itu perlu ditinggalkan kerana perlawanan akan datang menjadi kepentingan bagi pasukan untuk terus bersaing mempertahankan kejuaraan Liga Singapura tahun ini.

Menurut Steve kean lagi,“Kita perlu melihat kesilapan individu dan membuat peningkatan dalam beberapa aspek lain untuk menjadikan Pasukan Brunei DPMM FC lebih garang dalam kejohanan ini.”

Sejurus selepas perlawanan Jumaat lalu, Ketua Jurulatih Albirex Niigata FC (S) Naoki Narou menyatakan bahawa beliau sangat berpuas hati dengan keputusan tersebut walaupun tidak mempunyai banyak peluang serangan yang hampir semuanya dikuasai oleh DPMM FC.

Mengulas mengenai saingan kejuaraan tahun ini, beliau menegaskan, “ia menjadi tumpuan dan tujuan kami, namun kami terlebih dahulu perlu berhadapan pasukan lain untuk mendapat kejayaan yang sememangnya dihasratkan oleh semua pasukan di dalam Liga Singapura tahun ini.”

ARTIKEL YANG SAMA