Gunners benam Bayern Munich 2-0

Gunners benam Bayern Munich 2-0

LONDON, 21 Okt – Olivier Giroud meledak selepas dua minit dimasukkan selaku pemain gantian sebelum Mesut Ozil menyudahkan sepakan terakhir perlawanan membantu Arsenal menang 2-0 ke atas Bayern Munich semalam.

Penyerang Perancis itu menggantikan Theo Walcott menanduk masuk hantaran Santi Cazorla pada minit ke-77 untuk menceriakan skuad Arsene Wenger beraksi di stadium Emirates.

Kejayaan menyegarkan semula kempen The Gunners selepas tewas dua perlawanan awal Kumpulan F. Keputusan menamatkan 12 kemenangan Bayern dalam semua pertandingan dan meneruskan perjuangan Arsenal mencari slot ke peringkat kalah mati.

Bayern dan Olympiakos Piraeus mengumpul enam mata sementara Dinamo Zagreb dan Arsenal, masing masing tiga. Bayern tiba di London setelah memenangi setiap perlawanan dalam musim ini dan mereka mendominasi permainan bagi persaingan Kumpulan F.

Bagaimanapun, mereka hanya kekal dengan kedudukan sama ketika rehat menerusi penyelamat menarik Manuel Neuer untuk mengeluarkan tandukan kencang jarak dekat Theo Walcott yang tidak dikawal.

Penyerang Arsenal Olivier Giroud (kiri) menjunam untuk menyumbat gol pertama pasukannya pada Liga Juara-Juara UEFA di Stadium Emirates di London, pada 20 Oktober 2015. – AFP
Penyerang Arsenal Olivier Giroud (kiri) menjunam untuk menyumbat gol pertama pasukannya pada Liga Juara-Juara UEFA di Stadium Emirates di London, pada 20 Oktober 2015. – AFP

Tetapi Arsenal, yang tertekan memerlukan kemenangan selepas kekalahan kepada Dinamo Zagreb dan Olympiakos dalam dua perlawanan pertama, mendapatkan kelebihan daripada kesilapan Neuer untuk menjaringkan gol dengan perlawanan berbaki 13 minit.

“Mereka menguasai perlawanan tetapi kami tahu mereka biasa melakukannya. Apa pun kami masih mampu menjaringkan gol dan menamatkan saingan dengan penyudah Mesut pada penghujung perlawanan,” kata Giroud.

“Kami menentang pasukan fantastik. Kemenangan bagus untuk masa depan.”- Reuters