Gunners benam Hull

Gunners benam Hull

KINGSTON UPON HULL, United Kingdom, 5 Mei (AFP) – Penyerang Chile Arsenal, Alexis Sanchez menjaringkan dua gol, sekali gus menjadikan Gunners hampir pasti mengesahkan tiket ke Liga Juara-Juara buat kali ke-18 berturut-turut selepas menundukkan Hull 3-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.

Kemenangan itu meletakkan Arsenal sembilan mata di depan kelab di tangga kelima, Liverpool yang masih berbaki tiga perlawanan. Arsenal di tempat ketiga dengan baki satu lagi perlawanan dan memiliki perbezaan gol lebih baik.

Sanchez meletakkan Arsenal di depan selepas menyempurnakan sepakan percuma pada minit ke-28 dan Aaron Ramsey menambah gol apabila meluru bagi menyambut hantaran terus Santi Cazorla untuk merembat masuk pada minit ke-33.

Ramsey kemudiannya mencipta peluang untuk Sanchez pada saat akhir babak pertama dan penyerang Chile itu berjaya memperdaya penjaga gawang Steve Harper bagi menyepak masuk ke arah pintu gol yang terbuka.

Stephen Quinn menjaringkan gol tunggal Hull menerusi tandukan pada minit ke-57 tetapi anak buah Steve Bruce kekal satu mata daripada terjerumus ke dalam zon penyingkiran.

Penyerang Arsenal, Alexis Sanchez (kiri) mencari ruang untuk membolosi gawang Steve Harper semasa menentang Hull City di Stadium KC semalam. – AFP
Penyerang Arsenal, Alexis Sanchez (kiri) mencari ruang untuk membolosi gawang Steve Harper semasa menentang Hull City di Stadium KC semalam. – AFP

Pengurus Arsenal, Arsene Wenger nyata berpuas hati dengan prestasi Sanchez yang dibeli dari Barcelona apabila penyerang Chile itu muncul pemain Arsenal pertama selepas Thierry Henry berjaya menjaringkan lebih 20 gol pada musim sulung bersama The Gunners dengan kini sudah pun menjaringkan 24 gol.

“Ya, dia melebihi segala jangkaan saya terhadapnya kerana pada mulanya saya menjangkakan dia lebih kepada untuk bertindak sebagai pencetus kepada jaringan berbanding sebagai penjaring utama.

“Terutama apabila saya meletakkan dia beraksi di posisi sayap yang mana peluang menjaringkan gol agak kurang.

“Tetapi dia memiliki naluri dan kualiti dalam lariannya yang mana cukup baik untuk dia berada di posisi terbaik melakukan sentuhan penyudah,” kata Wenger.

ARTIKEL YANG SAMA