Gunners buru kedudukan kedua

Gunners buru kedudukan kedua

KINGSTON, 6 Mei (AFP) – Arsene Wenger mencabar skuad bimbingannya, Arsenal untuk menamatkan baki saingan musim ini tanpa kalah dan memastikan kedudukan kedua dalam Liga Perdana Inggeris menjadi milik mereka.

Gunners melakar kemenangan 3-1 di Hull City semalam, yang menyaksikan mereka meneruskan rekod 10 kemenangan tanpa kalah dan berada dalam kelompok empat terbaik bagi musim ke-18 berturut-turut.

Walaupun Chelsea telah dimahkotakan sebagai juara tetapi Wenger berkata, menamatkan aksi di kedudukan kedua buat kali pertama dalam tempoh sedekad merupakan sasaran penting dalam kempen kali ini.

Ia juga akan menjadi motivasi buat Arsenal untuk mempertahankan kejuaraan Piala FA di Wembley menentang Aston Villa dalam final hujung bulan ini.

“Kedudukan kami dalam kelompok empat terbaik terjamin. Mari kita lihat, sejauh mana kami mampu terus bersaing. Kami mensasarkan untuk menamatkan saingan pada kedudukan terbaik.

“Kami gemar bermain bola sepak untuk satu tempoh yang panjang dalam sesebuah perlawanan,” kata pengurus Arsenal, Wenger yang menjadi pengendali kelab gergasi London utara itu sejak September 1996.

Tiada pasukan yang mengumpul lebih banyak mata dalam Liga Perdana berbanding Arsenal pada awal 2015, tetapi aksi tidak konsisten ketika separuh pertama musim telah membuat kelab itu terpaksa membayar harga yang cukup mahal ekoran mahkota kejuaraan sekali lagi terlepas daripada genggaman.

Kali terakhir Arsenal dinobatkan sebagai juara Liga Perdana Inggeris ialah pada 11 tahun lalu.

Ketika diajukan pertanyaan tentang peluang Arsenal untuk menjadi pencabar gelaran musim depan, Wenger meminta agar dia diberi ruang untuk bernafas dan soalan itu boleh diajukan kepadanya pada bulan Ogos nanti.

“Tanya saya pada Ogos. Bagi ruang kepada saya untuk bernafas. Tumpuan kami kini ialah menamatkan saingan di kedudukan kedua. Kami mahu mengekalkan rentak permainan.

“Bola sepak sukar diramal, tiada siapa tahu kekuatan mana-mana pasukan pada awal musim. Apa yang penting ialah memulakan aksi dengan menyakinkan,” ujar Wenger.

Dalam aksi semalam, Alexis Sanchez meledak dua gol, manakala Aaron Ramsey turut menemui sasaran bagi membantu Gunners mendahului 3-0 pada babak pertama permainan.

Gol Stephen Quinn menerusi tandukan menghidupkan peluang Hull, tetapi pasukan pelawat beraksi konsisten yang menyaksikan Arsenal meledakkan 100 gol dalam semua pertandingan.

ARTIKEL YANG SAMA