Gunners tiada ledakan

Gunners tiada ledakan

LONDON, 10 Ogos (AFP) – Petr Cech mengharungi aksi pertama Liga Perdana bersama Arsenal dalam keadaan memalukan apabila kesilapannya mengakibatkan juara Perisai Komuniti itu tumbang 0-2 di tangan West Ham malam tadi.

Kehadiran Cech dari Chelsea dianggap mampu menambah sengat Arsenal untuk memburu kejuaraan liga musim ini tetapi penjaga gol berusia 33 tahun itu wajar dipersalahkan apabila pemain tengah Senegal Cheikhou Kouyate menanduk masuk gol pertama West Ham di babak pertama aksi yang berlangsung di Stadium Emirates itu.

Cech juga dilihat tidak bersedia untuk menutup kesilapan yang dilakukan benteng pertahanan Arsenal hingga membolehkan penyerang Argentina Mauro Zarate menggandakan kelebihan pelawat.

Semua berita baik yang diterima Arsenal sejak memenangi Piala FA ke atas Aston Villa musim lalu serta kejayaan menundukkan Chelsea pada saingan Perisai Komuniti minggu lalu hilang begitu saja sekali gus memberi satu lagi imej buruk buat Arsene Wenger ketika pengendali itu memasuki tahun ke-20 di Emirates.

Pengurus Gunners itu tentunya berang dengan persembahan anak buahnya yang dikatakan mampu menamatkan kemarau liga yang memasuki tahun ke-12 terutama apabila tuan rumah mudah diatasi West Ham.

Reaksi Wenger dan beberapa pemain The Gunners selepas pasukan mereka tewas kepada West Ham di Stadium Emirates semalam. – Reuters
Reaksi Wenger dan beberapa pemain The Gunners selepas pasukan mereka tewas kepada West Ham di Stadium Emirates semalam. – Reuters

Kemenangan itu turut menamatkan rentetan 10 kekalahan di tangan Arsenal sebelum ini dengan kemenangan pertama mereka ke atas Gunners terhasil pada April 2007.

Ia permulaan yang sangat diimpikan jurulatih baru West Ham Slaven Bilic yang menggantikan Sam Allardyce hujung musim lalu sekali gus menjawab kritikan yang dilemparkan ke atasnya kerana menurunkan skuad lemah ketika tewas di tangan Astra Giurgiu pada saingan Liga Europa.

Ketika Bilic menerima ucapan tahniah daripada penyokong West Ham, Wenger pula gagal tersenyum sekali gus membuatkan beliau perlu memikirkan semula keputusannya untuk tidak membuat bidaan ke atas pemain Real Madrid Karim Benzema.

ARTIKEL YANG SAMA