Gunners turun tanpa trio

Gunners turun tanpa trio

SINGAPURA, 10 Julai (Reuters) – Trio Arsenal, Alexis Sanchez, Danny Welbeck dan Tomas Rosicky akan terlepas aksi Trofi Liga Perdana Asia minggu depan, namun pemain baru Petr Cech mungkin melakukan penampilan sulungnya bersama kelab itu selepas dipilih bagi kunjungan ke Singapura.

Penyerang England, Welbeck dan pemain tengah Czech, Rosicky akan kekal di London untuk meneruskan pemulihan kecederaan lutut, umum kelab itu semalam manakala Sanchez diberi cuti tambahan selepas membantu Chile menjuarai Copa America minggu lalu.

Penjaga gol Colombia, David Ospina, yang dikaitkan dengan perpindahan ke kelab lain selepas ketibaan Cech dari kelab pencabar London, Chelsea, turut diberi cuti selepas Copa America dan tidak beraksi pada pertandingan itu.

Pertahanan serba boleh Calum Chambers akan berkunjung ke Singapura dalam skuad 27 pemain selepas tidak beraksi pada Kejohanan B-21 Eropah.

“Calum memutuskan untuk memendekkan percutiannya dan kembali Jumaat (hari ini),” kata Wenger dalam Arsenal.com. “Dia tidak beraksi pada kejohanan B-21 dan perlu menyiapkan diri.

“Welbeck belum pulih sepenuhnya daripada masalah dihadapinya (sejak hujung musim lalu). Dia tidak mampu berlatih sepenuh masa jadi terpaksa diketepikan.”

Juara Piala FA yang juga juara liga Inggeris 13 kali, Arsenal akan berdepan Pilihan Singapura pada 15 Julai ini bagi perlawanan pertama pramusim di Stadium Nasional, Kallang.

Sekiranya mereka menang perlawanan itu, mereka akan beraksi pada final 18 Julai menentang pemenang satu lagi perlawanan antara dua pasukan Inggeris.

ARTIKEL YANG SAMA