Gunners wajib menang di Emrates

Gunners wajib menang di Emrates

LONDON, 24 Nov (Reuters) – Pengurus Arsenal Arsene Wenger masih percaya pasukannya memiliki ‘peluang kuat’ untuk layak ke pusingan kedua Liga Juara-Juara bagi musim ke-16 berturut-turut ketika kelab Liga Perdana itu dan juara Croatia Dinamo Zagreb berdepan misi hidup mati.

Ketika kedua-dua pasukan bergelut di tangga bawah Kumpulan F, masing-masing enam mata di belakang Bayern Munich dan Olympiakos Piraeus, peluang mereka berkubur kecuali salah satunya menang di Stadium Emirates, awal pagi esok.

Malah mereka terpaksa mengharapkan prospek Bayern dan Olympiakos tidak bermain untuk seri di Arena Allianz.

Namun harapan Wenger meningkat berikutan masalah dihadapi Zagreb yang berdepan dua skandal dalam tempoh tiga hari minggu lalu.

Ketua eksekutif mereka Zdravko Mamic ditahan Rabu lalu kerana tuduhan melakukan kesalahan dalam perpindahan pemain, manakala pemain tengah Arijan Ademi dikenakan penggantungan empat tahun kerana doping Jumaat lalu selepas diuji positif berikutan kemenangan 2-1 Dinamo ke atas Arsenal di laman sendiri September lalu.

Wenger kekal optimis pasukannya, yang terus dirundung malang selepas tewas 1-2 kepada West Brom Sabtu lalu, mampu mengatasi setiap halangan dan meneruskan rekod menakjubkan layak secara konsisten ke pusingan kedua.