Gunung Agung meletus lagi

JAKARTA, 13 Feb – Gunung Agung di Bali kembali meletus hari ini selepas beberapa minggu ‘berehat’.

Letusan terakhir berlaku pada 2 Januari lepas.

Menurut Badan Nasional Penanggulangan Bencana, sebuah badan pengurusan bencana, letusan terbaharu itu berlaku pada jam 11:49 pagi tadi, mengeluarkan asap dan debu setinggi 1,500 meter.

Status keselamatan Gunung Agung masih di Tahap III (Siaga) selepas diturunkan dari Tahap IV (Awas) pada Sabtu lepas.

Sementara itu, agensi berita ANTARA melaporkan, pihak berkuasa tempatan telah mengeluarkan arahan supaya orang ramai tidak melakukan sebarang aktiviti dalam lingkungan 4km radius dari kawah gunung itu.

Gambar fail menunjukkan gunung Agung mengeluarkan kepulan asapnya. Gunung Agung di Bali kembali meletus kelmarin selepas beberapa minggu ‘berehat’. – AFP

Lapangan Terbang Antarabangsa Gusti Ngurah Rai di Bali bagaimanapun dilaporkan beroperasi seperti biasa.

Sementara di Kuala Lumpur, menurut Kementerian Luar Malaysia hari ini, status keselamatan Gunung Agung di Bali, Indonesia telah diturunkan daripada Tahap IV (Awas) kepada Tahap III (Siaga) pada Sabtu dan radius kawasan berbahaya juga dikurangkan daripada 6km kepada 4km.

Bagaimanapun, memandangkan status tersebut boleh berubah dalam masa yang singkat, pihak berkuasa Indonesia telah memberi peringatan terhadap kemungkinan pemindahan penduduk sekiranya status keselamatan itu meningkat.

“Rakyat Malaysia adalah dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga untuk keselamatan diri, mengikuti perkembangan berita tempatan dan mematuhi arahan daripada pihak-pihak berkuasa tempatan,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan media hari ini.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Pejabat Konsul Kehormat Malaysia di Bali. – Bernama