Gunung berapi Mexico meletus

Gunung berapi Mexico meletus

COLIMA, Mexico, 12 Julai (AFP) – Ratusan penduduk kampung dipindahkan dari perkampungan “Gunung Berapi” Mexico dan sebuah lapangan terbang ditutup kelmarin dalam kebimbangan letusan mungkin meningkat menjadi yang paling dahsyat dalam satu abad.

Debu dari Gunung Berapi Colima, menghujani komuniti-komuniti berdekatan sementara lava mengalir turun, mendorong pihak berkuasa untuk menutup kawasan sebesar 12 kilometer sekitar kawah tersebut.

“Komuniti dalam kawasan 12 kilometer ini sangat kecil dan tidak melebihi 800 penduduk. Mereka semua telah pun dipindahkan,” kata Luis Felipe Puente, Penyelaras Perlindungan Sivil Negara.

Lapangan terbang Collima telah ditutup bagi penerbangan peribadi dan komersial “disebabkan gugurnya debu di kawasan tersebut,” kata Gabenor Mario Anguiano Moreno.

Aktiviti gunung berapi mula meningkat pada lewat Khamis, dengan empat kilometer kolum debu pada lewat Jumaat.

Gunung berapi mengeluarkan debu tebal memaksa penduduk berdekatan dipindahkan. – AFP
Gunung berapi mengeluarkan debu tebal memaksa penduduk berdekatan dipindahkan. – AFP

Sebuah kampung di kaki gunung tersebut, Yerbabuena, telah ditenggelami debu setebal lima sentimeter (hampir dua inci), kata pihak berkuasa dan hujan juga turun, menambah lagi kesengsaraan.

Debu mengembara sejauh bandar Colima, di mana penduduk memakai topeng dan lapisan nipis material seperti talkum menutupi jalan-jalan dan kereta.

Kementerian dalam berkata aktiviti gunung berapi tersebut “memperlihatkan situasi yang sama seperti yang terjadi pada 1913,” apabila letupan besar terjadi dan menutupi rantau tersebut dengan debu.

Kementerian juga berkata terdapat tiga senario yang berkemungkinan: Aktiviti secara beransur-ansur menyusut dalam beberapa minggu mendatang, letupan seperti 1913 atau kubah gunung berapi runtuh.

Tetapi Puente berkata terdapat “penurunan terhadap aktiviti gunung berapi” di waktu petang berbanding awal hari, dan pihak berkuasa telah memantau gunung berapi tersebut “dari minit ke minit.”