Gunung Kinabalu didaki semula

Gunung Kinabalu didaki semula

KUNDASANG, 9 Ogos (Bernama) – Pelancong luar antara 88 pendaki yang diberi peluang untuk percubaan pertama kali pendakian ke Laban Rata sejak Gunung Kinabalu ditutup akibat gempa bumi kira-kira dua bulan lalu.

Michael Lewis, 39 dari California, Amerika Syarikat berkata peluang itu merupakan pengalaman menakjubkan dan akan digunakan untuk membantu menyampaikan mesej kesedaran kepada para pelancong lain berkaitan keadaan terkini laluan pendakian Gunung Kinabalu yang selamat.

Lewis, anggota sebuah kelab kebajikan yang dianggotai kira-kira 20 negara, memberitahu Bernama, beliau berasa cukup bertuah kerana menjadi antara peserta dalam pendakian percubaan itu.

Semalam, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Masidi Manjun melancarkan pendakian harian kepada 88 pendaki termasuk media tempatan dan nasional bermula dari Timpohon Gate hingga ke Laban Rata.

Aktiviti pendakian ke puncak Gunung Kinabalu dihentikan sementara selepas daerah berkenaan dilanda gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter kira-kira 7.15 pagi pada 5 Jun lalu yang mengorbankan 18 mangsa termasuk dari 10 dari Singapura, Malaysia (enam), Jepun (satu) dan China (satu).

Sementara itu, warga Australia, Andrew Britto, 51, berkata beliau beruntung diberi peluang sekali lagi mendaki Gunung Kinabalu meskipun telah mendakinya beberapa kali sebelum ini.

Beliau berpendapat tidak banyak perubahan berlaku di sepanjang laluan pendakian sehingga ke Laban Rata itu kecuali kesan runtuhan batu jelas kelihatan di kilometer 1.5 iaitu kira-kira 2,164 meter ketinggian dari aras laut.