Gunung Sinabung di Sumatera meletus

JAKARTA, 12 Okt – Gunung Sinabung yang terletak di daerah Karo di wilayah Sumatera Utara meletus awal pagi ini dan menyemburkan abu sejauh dua kilometer ke langit, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan seorang pegawai kanan agensi bencana.

Letusan berlaku 2:45 pagi diikuti beberapa gegaran serta semburan abu ke timur dan tenggara serta 1.5km ke selatan kawah gunung berapi tersebut, kata jurucakap bagi pengurusan bencana nasional Sutopo Purwo Nugroho.

“Bagaimanapun, letusan itu tidak mengakibatkan kematian atau mencetuskan pemindahan baharu,” katanya kepada Xinhua menerusi satu mesej teks. – Bernama