Guru Bahasa Iban: SDNU saran ibu bapa tulis surat kepada PPD

Guru Bahasa Iban: SDNU saran ibu bapa tulis surat kepada PPD

SIBU, 5 Jan (Bernama) – Ibu bapa kepada pelajar Dayak yang merupakan 90 peratus pelajar di sebuah sekolah rendah di sini kesal kerana anak mereka terpaksa belajar Bahasa Arab dan bukannya Bahasa Iban sebagai mata pelajaran elektif.

Mereka telah membawa perkara itu kepada perhatian Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU).

Timbalan Setiausaha Agung SDNU Chambai Lindong yang bercakap atas kapasiti peribadi, menasihatkan ibu bapa membuat permohonan secara bertulis kepada Pusat Pendidikan Daerah (PPD) untuk menyediakan guru mata pelajaran Bahasa Iban di sekolah rendah terbabit.

“Pihak sekolah perlu dimaklumkan mengenai perkara ini terlebih dahulu sebelum mengajukan cadangan kepada PPD untuk menyediakan sekurang-kurangnya seorang guru mata pelajaran Bahasa Iban.

“Surat cadangan itu perlu ditandatangani sekurang-kurangnya 15 ibu bapa,” katanya kepada pemberita hari ini.

Chambai berkata masalah itu membabitkan sumber manusia dan menurutnya walaupun banyak masyarakat Iban bertugas sebagai guru di negeri ini tetapi tidak banyak yang mempunyai kelayakan khusus atau berkebolehan mengajar bahasa itu.

Katanya pihaknya mendapati terdapat kekurangan penyebaran maklumat berkaitan dasar mata pelajaran elektif wajib di bawah Standard Kurikulum Sekolah Rendah meliputi bahasa Mandarin, Tamil, Iban, Kadazandusun dan Semai sejak dilaksanakan pada 2011.