Guru bijaksana bina generasi berwawasan

Guru bijaksana bina generasi berwawasan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Sept – Tidak dapat dinafikan bahawa guru memainkan peranan yang amat penting sebagai pendidik generasi seterusnya agar mereka menjadi individu yang berfikiran rasional, inovatif, kreatif serta mempunyai daya tahan fizikal dan mental yang tinggi.

Sehubungan itu, bagi memperingati dan menghargai jasa serta bakti guru-guru sebagai tonggak penting pendidikan generasi muda negara dan ejen perubahan sosial, acara kemuncak Majlis Sambutan Hari Guru ke-26 akan diadakan esok (29 September) di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Dengan tema Sambutan Hari Guru tahun ini, ‘Guru Bijaksana Pembina Generasi Berwawasan’, ia amat bertepatan serta signifikan di mana pendidikan merupakan tunjang utama dalam membangun peradaban bangsa dan mengembang majukan ekonomi sesebuah Negara.

Melalui pendidikan juga, ia akan menentukan daya tahan sesebuah bangsa dalam mengharungi cabaran-cabaran global yang serba tidak menentu dan tidak dapat diramal.

Kesejahteraan bangsa dan daya tahan ekonomi juga bergantung kepada kualiti pendidikan yang mantap, yang mengimbangkan pendidikan duniawi dan ukhrawi.

Ternyata, guru yang bijaksana merupakan modal insan yang mampu melahirkan generasi berwawasan.

Temanya cukup membawa pengertian tersendiri yang mana ‘Guru Bijaksana’ memberikan penekanan kepada golongan pendidikan yang memiliki kebolehan intelektual yang tinggi, arif, cekap, cerdik, cermat, berakal budi, penuh ihsan dan berintegriti dalam menggilap kemahiran kognitif, psikomotor dan sahsiah para pelajar mereka supaya dapat melahirkan generasi yang mandiri serta berwawasan tinggi.

Manakala ‘Pembina’ dalam konteks tema sambutan, ditakrifkan sebagai pencipta acuan, arkitek serta tokoh yang mampu mengangkat dan memartabatkan kualiti pendidikan negara ke tahap yang cemerlang.

‘Generasi Berwawasan’ pula secara umumnya dapat ditakrifkan sebagai golongan muda, generasi pelapis yang akan menerajui negara pada masa akan datang dengan ciri-ciri kepimpinan dan kewibawaan yang lengkap, serta mantap bagi mencapai misi dan visi negara menjelang tahun 2035.

ARTIKEL YANG SAMA