Guru cabul pelajar kena 5 tahun penjara

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Nov – Seorang guru sekolah menengah yang mengaku bersalah atas tuduhan melakukan cabul terhadap pelajarnya, dijatuhi hukuman lima tahun penjara dan tiga sebatan oleh Mahkamah Perantaraan, hari ini.

Hukuman dijatuhkan Hakim Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain terhadap guru lelaki yang mengajar subjek Biologi di sebuah sekolah menengah di Daerah Belait.

“Mahkamah tidak dapat mempertimbangkan cadangan peguam tertuduh untuk mengenakan perintah percubaan dan khidmat kemasyarakatan kerana perbuatan tertuduh merupakan kesalahan yang serius.

“Tertuduh mengambil kesempatan ke atas mangsa yang berusia 16 tahun, yang diketahuinya mempunyai masalah di rumah,” kata Hakim yang turut memberi amaran keras bahawa hukuman berat akan dikenakan kepada sesiapa yang ‘mengkhianati kepercayaan yang diberikan’ semata-mata untuk memuaskan nafsu.

Menurut fakta kes, tertuduh ditugaskan di sekolah berkenaan sejak 27 Ogos 2015 dan mangsa adalah pelajarnya.

Laporan polis yang mendakwa tertuduh mencabul mangsa, dibuat di Balai Polis Kuala Belait pada 24 Julai 2017.

Unit Penderaan Wanita dan Kanak-kanak yang menjalankan siasatan mendedahkan tertuduh melakukan cabul terhadap mangsa dalam tempoh tiga hari.

Mangsa yang takut untuk melaporkan kejadian itu, telah memberitahu rakannya yang kemudian melaporkannya kepada guru sekolah.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Dayangku Didi Nuraza binti Pengiran Latiff manakala tertuduh diwakili Peguam Pengiran Khairul Nizam bin Pengiran Haji Mohd Yassin.