Guru cuba jual pelajar albino ditahan

Guru cuba jual pelajar albino ditahan

BLANTYRE, Malawi, 17 Sept (AFP) – Seorang guru yang disyaki cuba menjual seorang pelajar perempuan albino pada harga AS$10,000 ditahan kelmarin, kata polis ketika negara Afrika itu berusaha membasmi pembunuhan komuniti albino bagi tujuan ilmu hitam.

Guru sekolah berkenaan, Philip Ngulube berada bersama pelajar perempuan itu apabila dia ditahan polis di bandar Mzuzu, utara Malawi.

“Dia didakwa atas tuduhan melakukan penculikan dengan niat membunuh.

Ngulube ditahan polis semasa dia dalam perjalanan untuk menjual kanak-kanak itu kepada seorang ahli perniagaan Tanzania pada harga AS$10,000,” kata jurucakap polis, Maurice Chapola.

Menurutnya, mangsa berkemungkinan akan dibunuh bagi tujuan mendapatkan anggota badannya.

Suspek memberitahu polis bahawa pelajar berkenaan ialah kekasihnya.

Albino merupakan keadaan genetik yang disebabkan ketiadaan pigmen warna pada kulit, rambut dan mata, menyebabkan kulit dan rambut mereka berwarna putih.

Individu albino kerap menjadi mangsa pembunuhan di beberapa negara Afrika bagi mendapatkan anggota badan mereka terutamanya alat sulit dan tulang untuk digunakan dalam upacara sihir.

ARTIKEL YANG SAMA