Guru dan 3 pelajar terpilih ke Jepun

Guru dan 3 pelajar terpilih ke Jepun

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Nov – Tiga orang pelajar dan seorang guru telah dipilih oleh Kementerian Pendidikan untuk mengambil bahagian dalam Pesta Filem Kanak-kanak yang akan berlangsung di Jepun pada 22 November hingga 1 Disember depan.

Pemilihan Awangku Shahzrul Nazrin @Haziq Al-Mukhtar bin Pengiran Haji Shahbuddin (guru) dan tiga orang pelajar Tahun 10 iaitu Awang Syarif Ad Dandarawi bin Sazeli, Awang Mohd Rozaiman bin Mohd Shahrin serta Awangku Muhd Haziq bin Pengiran Kamalariffin adalah berdasarkan filem 3 minit mereka.

Sehubungan itu, majlis taklimat dan penyampaian tiket kepada para peserta telah diadakan di Sekolah Menengah Awang Semaun sebelum berlepas ke Jepun, yang mana tiket-tiket telah disampaikan oleh Setiausaha Kedua (Perhubungan Awam, Budaya dan Pendidikan), Kedutaan Jepun, Yuki iida.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pesta ini merupakan sebahagian daripada Program JENESYS 2015, iaitu program pertukaran yang dilancarkan oleh kerajaan Jepun untuk mempromosi pemahaman mengenai Jepun dalam kalangan belia luar negara.

Program ini bertujuan mempromosi pemahaman kebudayaan, masyarakat, sejarah dan teknologi Jepun dalam kalangan pelajar sekolah menengah dan tinggi di Asia serta menggalakkan mereka supaya mengongsikan ciri-ciri menarik negara dan ‘Jepun sebenar’ selepas pulang ke tanah air.

Awangku Shahzrul Nazrin (kanan) bersama tiga pelajar yang terpilih bergambar ramai bersama Yuki iida.
Awangku Shahzrul Nazrin (kanan) bersama tiga pelajar yang terpilih bergambar ramai bersama Yuki iida.

Menerusi program ini, di Tokyo dan Kitami, Hokkaido, pelajar akan didedahkan kepada aspek kebudayaan dan seni Jepun, serta sejarah, tradisi dan teknologi Jepun.

Di Tokyo, peserta dijadualkan melawat sebuah pusat pemulihgunaan air untuk mempelajari teknologi canggih yang digunakan dalam bidang ini dan berjalan-jalan di sekitar kawasan berkenaan.

Di Kitami, Hokkaido, para peserta akan meluangkan masa seharian untuk menghadiri pesta filem. Menurut kenyataan itu, kesemua peserta menghasilkan sebuah filem yang dicalonkan untuk dipertandingkan dalam pesta filem ini.

Selain daripada itu, mereka akan didedahkan kepada ciri-ciri dan aspek persekitaran rantau menerusi lawatan ke sebuah akuarium dan muzium yang mempamerkan ais terapung yang muncul di rantau itu pada musim sejuk, dan aspek kebudayaan dan tradisional dengan mengalami ‘Budo’ iaitu sejenis seni mempertahankan diri tradisional, dan permainan ‘curling’.

Tambahan pula, mereka akan memperoleh lebih banyak pengetahuan mengenai kehidupan awam dan persekolahan di Jepun menerusi pengalaman ketika mengunjungi pejabat perbandaran tempatan dan pertukaran sekolah.

ARTIKEL YANG SAMA