Guru dan poli...

Guru dan polis terlibat dalam dadah

Oleh Arissa

 

LIMBANG, 14 Mac – Padah menimpa seorang anggota polis yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah selepas dicekup bersama dua rakannya kerana menyorokkan dadah di sebuah stor di belakang sebuah rumah di Kampung Bunga Raya, di sini, semalam.

Suspek  berusia 37 tahun itu, bertugas sebagai anggota polis sejak 2002, bersama dua lagi rakannya berusia 30 dan 23 masing-masing dari Kampung Bunga Raya dan Seberang Kedai turut didapati positif Methamphetamine (Syabu).

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai mengesahkan kejadian itu dan menambah ketika serbuan, berlaku pergelutan antara suspek dan anggota polis.

“Keseluruhan dadah yang dirampas seberat 0.96 gram dan bernilai RM200,” ujarnya.

Kesemua mereka dibawa ke balai polis dan akan disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Dadah syabu yang dirampas daripada suspek.
Dadah syabu yang dirampas daripada suspek.

Dalam kejadian berasingan, seorang guru ditahan buat kali kedua, dalam tempoh seminggu atas kesalahan sama selepas tindakannya menyorokkan dadah dipercayai syabu berjaya dihidu polis dalam satu serbuan di sebuah kawasan perkuburan di Sundar, Lawas, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata suspek berusia 37, yang tidak datang mengajar sejak setahun lalu ditahan bersama dadah disyaki syabu seberat 3.4gram dalam serbuan yang dijalankan sekitar jam 4:30 petang.

Katanya hasil pemeriksaan ke atas guru terbabit, polis menemui empat keratan straw berwarna merah jambu, satu keratan straw berwarna hijau muda dan satu keratan straw berwarna merah masing-masing mengandungi hablur kristal dipercayai dadah jenis syabu disorokkan dalam kotak rokok, yang disimpan dalam seluar suspek.

ARTIKEL YANG SAMA