Guru didedahkan pemakanan sihat

Guru didedahkan pemakanan sihat

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 April – Dalam usaha untuk memberikan maklumat terkini dan meningkatkan kefahaman guru-guru mengenai pemakanan sihat, Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan mengadakan Bengkel Pemakanan Sihat bagi Guru-guru Sekolah Menengah tahun 2016.

Bengkel yang berlangsung di Dewan Utama, Jabatan Perkembangan Kurikulum, Bangunan Baru Kementerian Pendidikan petang tadi itu telah disertai oleh 120 orang guru mata pelajaran Sains Tahun 8 di sekolah-sekolah menengah kerajaan, sekolah-sekolah Arab dan swasta.

Daripada jumlah tersebut, peserta bengkel telah dibahagikan kepada dua kumpulan dengan bengkel bagi kumpulan pertama bermula hari ini hingga 9 April, manakala itu, bagi kumpulan kedua akan diadakan pada 13 sehingga 14 April nanti.

Bengkel petang tadi dimulakan dengan taklimat bertajuk ‘Nutrition-Related Non-communicable Diseases’ yang telah disampaikan oleh Pegawai Perubatan, Pusat Promosi Kesihatan, Dr Hajah Norol Ehsan binti Haji Abdul Hamid.

Antara guru yang menyertai bengkel itu.
Antara guru yang menyertai bengkel itu.

Para peserta kemudian mendengarkan taklimat konsep piramid makanan yang disampaikan oleh Pegawai Pelajaran Kesihatan, Pusat Promosi Kesihatan, Dayang Rusyidah binti Haji Sudin dan model plat sihat serta taklimat diet lemak, gula, garam dan serat yang disampaikan oleh Pegawai Penjaga Zat Makanan, Bahagian Pemakanan, Awang Ilham bin Haji Ali dan Dayang Izzan Amalina binti Haji Abdul Kadir.

Sementara itu, pada hari kedua, bengkel akan diisikan dengan pelbagai taklimat dan aktiviti-aktiviti berkumpulan.

Bengkel ini bertujuan untuk mendedahkan teknik dan pedagogi yang berkesan agar boleh dipraktikkan oleh guru-guru Sains di samping untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan pelajar dan guru sekolah berhubung dengan pengambilan pemakanan sihat.

Selain itu, ia juga membantu percambahan pemikiran dan berkongsi sama pengalaman pengajaran guru-guru Sains dan pegawai kesihatan dari Pusat Promosi Kesihatan.

ARTIKEL YANG SAMA