Guru-guru semarakkan Majlis Khatam

Guru-guru semarakkan Majlis Khatam

Oleh Anwar Rosly & Ampuan Irma Susanti

 

KUALA BELAIT, 3 Julai – Seramai 13 guru Sekolah Ugama (SU) Panaga, Seria, kelmarin, telah menyertai Majlis Khatam Al-Quran bagi guru-guru sekolah berkenaan yang berlangsung di Dewan Sekolah Rendah Panaga, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pegawai Pengajian Islam di Jabatan Pengajian Islam (JPI) Cawangan Daerah Belait, Dayang Hazalina binti Dhalan dan Pembantu Pegawai Pengajian Islam, Pengiran Adi Yura bin Pengiran Mohammad.

Turut hadir ialah Guru Besar SU Panaga, Dayang Mariam binti Haji Momin serta pegawai-pegawai dari JPI Cawangan Daerah Belait.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti bacaan khatam Al-Quran beramai-ramai, manakala doa khatam dibacakan oleh Guru Kanan, Awangku Mohd Norhirman bin Pengiran Mohamad.

Menurut Dayang Mariam, program tahunan ini merupakan salah satu acara keagamaan dalam bulan Ramadan untuk memeriahkan dan menyemarakkan bulan yang mulia ini dengan beramal dan beribadat khusus dengan memperbanyakkan bacaan Al-Quran.

Antara kakitangan dari Sekolah Ugama Panaga dan Jabatan Pengajian Islam cawangan Daerah Belait yang hadir di Majlis Khatam Al-Quran bagi guru-guru.
Antara kakitangan dari Sekolah Ugama Panaga dan Jabatan Pengajian Islam cawangan Daerah Belait yang hadir di Majlis Khatam Al-Quran bagi guru-guru.
Antara guru-guru Daerah Temburong yang menyertai Majlis Khatam Al-Quran. – Gambar oleh Ampuan Irma Susanti
Antara guru-guru Daerah Temburong yang menyertai Majlis Khatam Al-Quran. – Gambar oleh Ampuan Irma Susanti

Sementara itu, di Daerah Temburong, seramai 96 guru mewakili 12 buah sekolah ugama yang berjaya menamatkan pembacaan 30 juzuk Al-Quran turut diraikan di Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung di Dewan Sekolah Persediaan Arab Temburong, baru-baru ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Ketua Pegawai Ugama Daerah Temburong, Awang Abdullah bin Haji Namit.

Majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Waqiah beramai-ramai, diikuti dengan bacaan takhtim, doa khatam Al-Quran, tahlil dan doa peliharakan sultan, serta diteruskan dengan Dikir Marhaban oleh guru-guru lelaki.

Majlis anjuran Jawatankuasa Pemimpin Sekolah-Sekolah Ugama Daerah Temburong (JAPSUT) ini bertujuan untuk mengimarahkan bulan Ramadan dengan aktiviti keagamaan di samping beramal ibadat untuk merebut peluang melipatgandakan amalan di bulan yang mulia ini.

Selain itu, ia juga diadakan bagi mengeratkan lagi silaturahim antara pegawai-pegawai Pejabat Pengajian Islam Temburong dengan ahli jawatankuasa serta guru-guru agama di daerah berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA