Guru insan berjasa

Guru insan berjasa

Oleh Mohamad Asyramisyanie, Sim Y. H. dan Abdul Rahim Ismail

Gambar Oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Sept – Kesabaran adalah perlu dalam diri seorang pendidik terutamanya dalam pengajaran kerana corak cabaran akan pastinya berubah dan akan membawa cabaran baru kepada setiap guru.

“Para guru perlu berinisiatif dan inovatif dalam penyampaian pengajian dan membuat perancangan menangani apa jua cabaran yang mendatang,” ujar Penerima Anugerah Guru Cemerlang (Keseluruhan), Profesor Madya Ampuan Dr Haji Brahim bin Ampuan Haji tengah.

Beliau turut menasihati para guru supaya meneruskan khidmat sebagai guru kerana ia satu karier yang membolehkan mereka menyumbang sesuatu yang lebih besar, terutama dalam mendidik anak bangsa yang berperanan penting sebagai pemimpin di masa akan datang.

Menurutnya lagi semasa ditemui di Majlis Sambutan Hari Guru ke-25 di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, hari ini, beliau kini juga aktif dalam kerja sukarela dengan pertubuhan bukan kerajaan seperti ASTERAWANI dan Persatuan Sejarah di samping tugasan utamanya di Universiti Brunei Darussalam.

Penerima Anugerah Guru Cemerlang (keseluruhan) Profesor Madya Ampuan Dr Haji Brahim.
Penerima Anugerah Guru Cemerlang (keseluruhan) Profesor Madya Ampuan Dr Haji Brahim.
Penerima Anugerah Guru Berjasa, Dato Seri Setia Haji Mahalle.
Penerima Anugerah Guru Berjasa, Dato Seri Setia Haji Mahalle.

Seorang lagi tokoh guru berpengalaman, Dato Seri Setia Haji Mahalle bin Haji Abdullah yang menerima Anugerah Guru Berjasa berkata, akademik dahulu dan sekarang tidak jauh berbeza namun beliau tidak menyangka bahawa cabaran masa kini tidak sama seperti dahulu dan ia akan terus berubah seiring masa yang juga perlu diambil kira.

Beliau turut menasihatkan para guru supaya akan sentiasa memberikan tumpuan kepada niat bekerja dan perlu memastikan kerja yang dibuat secara ikhlas kerana Allah Subhanahu Wata’ala, tanpa melihat aspek gaji atau pangkat semata-mata.

“Para guru juga perlu berkeupayaan untuk mengawal keadaan dan kesejahteraan para pelajar kerana ia merupakan kunci utama dalam pengajaran yang berkesan,” ujar mantan guru yang kini berusia 77 tahun itu, sambil menambah, salah satu lagi yang penting ialah tidak boleh bangga diri atas kejayaan akan tetapi sebaliknya perlu bersyukur dan bertawakkal kepada Allah SWT atas kejayaan yang dianugerahiNya.

Sementara itu, Penerima Anugerah Guru Cemerlang Mata Pelajaran (Pengajian Melayu), Dayang Faridah binti Abdul Hamid ketika ditemui menekankan bahawa anugerah bukan matlamat untuk jadi guru kerana ia merupakan penilaian dan pengiktirafan kepada jasa baik semua guru. “Karier sebagai seorang guru adalah kerja yang sangat mulia dan siapa lagi yang bertanggungjawab mendidik anak bangsa sendiri kalau bukan kita,” tegas guru yang kini bertugas di Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah itu.

Penerima Anugerah Guru Cemerlang Mata Pelajaran (Pengajian Melayu) Dayang Faridah.
Penerima Anugerah Guru Cemerlang Mata Pelajaran (Pengajian Melayu) Dayang Faridah.

Menurutnya lagi, apabila berhadapan dengan pelajar, para guru perlu sabar dengan pelbagai kerenah mereka (para pelajar) dan menekankan supaya para guru perlu sentiasa ingat bahawa tidak semua pelajar datang daripada kehidupan yang sempurna dan dihasratkan.

“Itulah peranan seorang guru untuk melengkapi kekurangan yang ada pada pelajar melalui pendidikan dan bimbingan kepada mereka dan perlu juga terlibat aktif dalam memangkinkan pembangunan akademik dan akhlak para pelajar,” tegasnya lagi.

Katanya lagi, pengisian kerohanian adalah perlu dan para guru perlu bertanggungjawab dalam mengarahkan mereka kepada kesedaran yang lebih baik sebagai umat manusia yang berguna.

Menyentuh mengenai tema sambutan, ‘Guru Pemangkin Insan Berwawasan’, Dayang Faridah menekankan, perkataan ‘berwawasan’ kali ini bukan sahaja pada aspek dunia malah juga di akhirat dan menambah “selaku guru kita perlu sentiasa mendoakan semoga semua anak-anak didik akan berjaya dalam hidup mereka terutama dalam mencari redha Allah”.

Penerima Anugerah Guru Berjasa Haji Ibrahim.
Penerima Anugerah Guru Berjasa Haji Ibrahim.

Seorang lagi penerima Anugerah Guru Berjasa, Haji Ibrahim bin Mohd Yassin yang berusia 84 tahun tidak menyangka akan menerima anugerah tersebut dan menyatakan perasaan gembiranya dan menjunjung kasih atas pengiktirafan yang dikurniakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia serta kerajaan Baginda itu.

“Pada usia ini, berpeluang untuk berhadapan dengan Baginda Sultan adalah suatu penghargaan yang sangat besar bagi saya,” katanya lagi.

ARTIKEL YANG SAMA