Guru kita terima pengiktirafan

Guru kita terima pengiktirafan

Oleh Sim Y.H.

Gambar oleh Kementerian Pendidikan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Okt – Jasa bakti pengorbanan dan komitmen seorang guru untuk membantu pelajar-pelajarnya bukan sahaja dihargai oleh ibu bapa, pelajar dan pemimpin negara tetapi juga mendapat perhatian dan penghargaan dari luar negara.

Seorang guru tempatan, Hajah Ratnawati binti Haji Mohammad (gambar), Guru Pendidikan Khas dari Sekolah Rendah Keriam Tutong, hari ini mengharumkan nama negara apabila beliau dipilih dan menerima Anugerah Puteri Maha Chakri yang buat pertama kalinya diadakan bersempena dengan ulang tahun keputeraan Yang Teramat Mulia Puteri Maha Chakri Sirindhorn ke-60 tahun, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, di sini, hari ini.

Menurut kenyataan itu, Majlis Penganugerahan Anugerah Puteri Maha Chakri 2015 berlangsung di Centara Grand & Bangkok Convention Centre, Central World, Bangkok, Thailand di mana anugerah berkenaan berkenan dikurniakan sendiri oleh Yang Teramat Mulia Puteri Maha Chakri Sirindhorn.

Hajah Ratnawati adalah di antara 11 orang penerima anugerah berkenaan dari setiap negara-negara Ahli Pertubuhan Menteri-menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO) di mana mereka menerima pingat, sijil penghormatan dan cek berjumlah AS$10,000.

Turut menghadiri majlis berkenaan ialah Duta Besar Negara Brunei Darussalam ke Thailand, Tuan Yang Terutama Haji Ismail bin Haji Abdul Manap dan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Dr. Haji Junaidi bin Haji Abdul Rahman.

pg01_151003_a

Menurut kenyataan itu lagi, penganugerahan itu adalah bagi menghargai sumbangan profesional Hajah Ratnawati dalam pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak berkeperluan khas khususnya sumbangannya di Sekolah Rendah Keriam, Tutong.

Beliau tanpa penat lelah dan di atas proaktif serta kreativitinya telah dapat menghadapi tugasan yang mencabar dalam memastikan pelajar-pelajar berkenaan dapat belajar dalam suasana pembelajaran yang kondusif dan selamat.

Hajah Ratnawati menjadi guru teladan di atas komitmennya dalam mengajar dan memberi sokongan kepada pelajar-pelajar berkeperluan khas, dan juga sebagai pendidik contoh kepada guru-guru lain.

Sebagai pengiktirafan ke atas komitmen dan dedikasi beliau dalam mendidik kanak-kanak berkeperluan khas itu, beliau telah dianugerahkan Anugerah Guru Cemerlang bersempena Sambutan Hari Guru ke-20 pada 2010.

Anugerah Puteri Maha Chakri adalah anugerah khas yang dihasratkan untuk memberi penghargaan kepada bidang pendidikan khususnya, bagi memberi penghormatan kepada Yang Teramat Mulia Puteri Maha Chakri Sirindhorn di atas sumbangan dan pencapaian cemerlang beliau di bidang pendidikan serta dalam meningkatkan kualiti kehidupan rakyat terutama sekali golongan yang kurang bernasib baik.

ARTIKEL YANG SAMA