Guru Maktab Duli terima Anugerah Puteri Maha Chakri

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Okt – Seorang tenaga pengajar dari Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli) telah menerima Anugerah Puteri Maha Chakri (Princess Maha Chakri Award) bagi mengiktiraf sumbangan profesional dan bakti beliau dalam pengajaran subjek kimia.

Lim Soh Ngo menerima anugerah tersebut yang disampaikan oleh Puteri Maha Chakri Sirindhorn pada Majlis Penganugerahan Anugerah Puteri Maha Chakri kedua di Bangkok, Thailand, hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan di sini, selain daripada tugas-tugas beliau sebagai seorang guru kimia peringkat lanjutan di Maktab Duli, Lim juga memikul tanggungjawab lain di maktab tersebut.

Beliau turut menjadi mentor kepada rakan-rakan sekerja atau guru-guru lain dan merupakan penasihat kepada Bahagian Perkembangan Staf di Maktab Duli.

Beliau juga secara aktif menyertai aktiviti-aktiviti profesional termasuk mengongsikan bidang kepakaran beliau melalui pelbagai bengkel.

Lim Soh Ngo semasa Majlis Penganugerahan Anugerah Puteri Maha Chakri kedua di Bangkok, Thailand, kelmarin.

Lim merupakan seorang pendidik yang penuh dedikasi dan telah mengajar mata pelajaran kimia selama 27 tahun. Sebagai testimoni kepada perkhidmatan cemerlangnya itu, beliau dianugerahkan Pingat Indah Kerja Baik pada tahun 2011 dan Anugerah Guru Cemerlang bersempena sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam ke-22 pada tahun 2012.

Seramai 11 orang pendidik (termasuk Lim Soh Ngo) dari setiap negara ahli Pertubuhan Menteri-menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO) dianugerahkan anugerah berkenaan di mana masing-masing menerima pingat, sijil penghormatan dan cek berjumlah AS$10,000 atas sumbangan mereka dalam pendidikan.

Semasa majlis penganugerahan itu, Lim Soh Ngo turut menyampaikan kongsi sama kepada kira-kira 400 orang audiens. Ketika di Bangkok, para penerima Anugerah Puteri Maha Chakri turut melawat Krematorium Diraja bagi mendiang Raja Bhumibol Adulyadej

Anugerah Puteri Maha Chakri merupakan penghormatan Puteri Maha Chakri Sirindhorn atas sumbangan dan pencapaian cemerlang beliau.

Anugerah berkenaan adalah penghormatan kepada guru-guru yang berdedikasi tinggi di Asia Tenggara yang telah memberikan sumbangan signifikan dalam pendidikan dan perkembangan manusia dan layak menerima pengiktirafan antarabangsa.

Ia juga menyokong dan mempromosi perkembangan profesion pendidik dan perkembangan pendidikan; serta turut dihasratkan bagi mengukuhkan hubungan antarabangsa dalam bidang pendidikan.

Juga hadir di majlis penganugerahan tersebut ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Datin Paduka Dr. Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.