Guru mengaku salah cabul pelajar

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Okt – Seorang guru menengah berusia 25 tahun, mengaku bersalah di Mahkamah Perantaraan baru-baru ini atas pertuduhan melakukan cabul terhadap pelajarnya yang berusia 16 tahun.

Hakim Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain bagaimanapun menetapkan 4 November untuk menjatuhkan hukuman ke atas guru yang mengajar subjek Biologi itu.

Terdahulu, Peguam Pengiran Khairul Nizam bin Pengiran Haji Mohd Yassin yang mewakili tertuduh membuat rayuan supaya mahkamah dapat mempertimbangkan untuk menjatuhkan hukuman perintah percubaan dan khidmat kemasyarakatan terhadap anak guamnya dan telah mengemukakan testimoni berkelakuan baik tertuduh yang diperolehi daripada rakan sekerjanya dan juga rekod akademik tertuduh.

Tertuduh telah mengajar di sekolah di Daerah Belait itu sejak Ogos 2015.

Timbalan Pendakwa Raya, Dayangku Didi Nuraza binti Pengiran Latiff bagaimanapun menggesa mahkamah untuk mengenakan hukuman penjara, yang mana tertuduh dalam kes ini telah mengambil kesempatan terhadap mangsa dan telah mengkhianati kepercayaan yang diberikan.

Kejadian bermula apabila mangsa mengadu sakit dada kepada tertuduh pada 9 Jun 2017.

Ketika berhubung melalui WhatsApp pada sebelah malam pada tarikh yang sama, tertuduh bertanyakan mangsa jika sakitnya masih berterusan, yang mana mangsa menjawab “ya”.

Tertuduh menyuruh mangsa untuk berjumpa dengannya pada keesokan hari pada waktu rehat dan mengesyaki mangsa mungkin mengalami aritmia.

Seperti yang dijanjikan, mangsa kemudian berjumpa tertuduh di bilik guru sekitar jam 10 pagi dan tertuduh ketika itu terus mengeluarkan stetoskop untuk mendengar denyutan jantung mangsa.

Tertuduh memberitahu mangsa, ia bukannya aritmia tetapi kemungkinan adalah kegelisahan. Tertuduh menasihatkan mangsa untuk berehat dan jangan tidur terlalu lewat.

Tertuduh kemudian meminta tertuduh untuk sekali lagi berjumpa dengannya pada 13 Jun 2017.

Mangsa dan dua rakannya pergi ke bilik guru kira-kira jam 7:20 pagi, di mana tertuduh mengarahkan dua rakan mangsa untuk menghadiri perhimpunan pagi.

Tertuduh kemudian membawa mangsa ke bilik makmal dan memberitahunya, yang dia ingin membuat pemeriksaan bunyi denyutan jantung mangsa.

Ketika meletakkan stetoskop itu ke dada mangsa, tertuduh memberitahu mangsa yang dia tidak mendengar secara jelas bunyi jantung mangsa dan stetoskop itu mungkin rosak selepas digunakan orang lain. Tertuduh meminta mangsa untuk membuka pakaiannya tetapi mangsa enggan.

Tertuduh mendesak mangsa untuk menaikkan baju kurungnya supaya dia dapat mendengar secara jelas bunyi denyutan jantungnya. Apabila
permintaannya dipenuhi, tertuduh kemudian merakam mangsa di telefon bimbitnya.

Tertuduh kemudian mendengar denyutan jantung mangsa dan memberitahunya ada perubahan daripada sebelumnya.

Selepas mangsa keluar, tertuduh kemudian menghantar pesanan WhatsApp kepada mangsa, meminta untuk berjumpa dengannya selepas waktu sekolah pada keesokan hari.

Sekitar jam 11:50 pagi pada 14 Jun, mangsa meminta rakannya untuk menemaninya untuk berjumpa dengan tertuduh di bilik makmal.

Melihat mangsa membawa rakannya, tertuduh kemudian meminta rakannya itu untuk menunggu di bilik guru.

Ketika berdua-duaan di bilik makmal, tertuduh menyuruh mangsa untuk mendekatinya dan mendakwa ingin memeriksa bunyi jantungnya dan memintanya untuk sekali lagi menaikkan bajunya atas alasan stetoskop tersebut masih tidak berfungsi dengan betul.

Mangsa enggan namun tertuduh memberi jaminan bahawa mangsa boleh mempercayainya.

Sebaik membuat apa yang disuruh, tertuduh terus mengeluarkan telefon bimbitnya dan mula membuat rakaman mangsa.

Tertuduh seperti kejadian sebelumnya kemudian menggunakan stetoskop, kononnya untuk mendengar denyutan jantung mangsa.

Tertuduh memberitahu mangsa, bahawa rawatan untuk kegelisahan ialah ‘pelukan’ dan bertanya jika mangsa mahukan pelukan. Tertuduh kemudian memeluk badan mangsa.

Laporan mengenai perbuatan tertuduh hanya dibuat pada 24 Julai 2017 di Balai Polis Kuala Belait dan kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-kanak.