Guru, murid diraikan dalam majlis khatam

Guru, murid diraikan dalam majlis khatam

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 30 Mei – Seramai 40 peserta yang terdiri daripada guru-guru, kakitangan dan murid-murid Sekolah Rendah Danau bersama ibu bapa, ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) Danau, ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Danau serta penduduk Kampung Danau telah menyertai Khatam Al-Quran yang berlangsung di Dewan Serba Guna SR Danau, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pegawai Kluster 5 di Jabatan Sekolah-sekolah Daerah Tutong, Awang Omar Ali bin Haji Mohd Tahir.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat sebelum diteruskan dengan bacaan Al-Quran dari Juz 1 yang dipimpin oleh Imam Masjid Kampung Danau, Pengiran Hassan bin Pengiran Ismail.

Kemudian bacaan tahlil dan doa arwah telah dipimpin oleh Bendahari II PIBG SR Danau, Awang Shahril Fauzi bin Rosly dan diikuti dengan bacaan Doa Selamat oleh Pelajar Tahun 6 ST Danau, Awang Muhammad Aqil Waliuddin bin Haji Hermendrawardi.

Semasa majlis Khatam Al-Quran dijalankan di Dewan Serba guna Sekolah Rendah Danau.
Semasa majlis Khatam Al-Quran dijalankan di Dewan Serba guna Sekolah Rendah Danau.

Majlis Khatam Al-Quran SR Danau ini merupakan salah satu program tahunan sekolah sejak tahun 2012 bagi para pelajar Tahun 6 yang akan menamatkan persekolahan mereka di peringkat rendah di negara ini. Ia juga merupakan gabungan bersama guru-guru, kakitangan, murid-murid, Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) sekolah, MPK Danau, ahli-ahli Takmir Masjid Kampung Danau dan penduduk Kampung Danau.

Tujuan program ini adalah untuk menanamkan dan menyuburkan budaya membaca Al-Quran khusus kepada para pelajar, ibu bapa dan penduduk Kampung Danau, mempelajari dan menghayati Al-Quran serta mengamalkan ajaran-ajarannya sebagai amalan harian dalam kalangan diri pelajar.

Selain itu, program ini juga diadakan bagi menggalakkan para pelajar berusaha untuk mengkhatamkan bacaan Al-Quran mereka.

ARTIKEL YANG SAMA