Guru, pelajar kongsi pengetahuan dan kemahiran bersama

Guru, pelajar kongsi pengetahuan dan kemahiran bersama

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 12 April – Guru-guru dan para pelajar yang menyertai Pertandingan Pertunjukan Sains 2016 berserta dengan guru-guru undangan dari Kementerian Pendidikan telah menamatkan Bengkel Pertunjukan Sains yang dikendalikan oleh Dr Graham Walker dari Universiti Kebangsaan Australia.

Bengkel dua hari yang diadakan di Pusat Penemuan Minyak dan Gas (OGDC) di sini itu, antara lain bertujuan memberikan peserta peluang mendapatkan pengetahuan baru, selain kemahiran dan tip-tip yang boleh digunakan secara umum semasa pertandingan itu yang akan diadakan pada 14 dan 17 April ini di Dewan Syarahan 2, Universiti Teknologi Brunei.

Dr Graham Walker menjelaskan bahawa pertunjukan Sains boleh bertindak sebagai pengetahuan tambahan dalam menjana rasa ingin tahu dan pemahaman lebih mendalam mengenai Sains untuk para pelajar dan juga orang ramai.

Semasa bengkel itu, beliau turut berkongsi elemen-elemen yang diperlukan dalam membuat persembahan yang relevan, menyeronokkan dan sedikit berjenaka serta kejutan.

Di samping itu beliau juga telah memberikan peluang kepada para peserta untuk menunjukkan demonstrasi Sains sebagai pengalaman mempersiapkan diri, serta berpeluang mengadakan perbincangan di samping mendapatkan motivasi yang berguna daripada Dr Graham Walker tentang bagaimana memperbaiki persembahan sains mereka.

Para peserta bengkel mengadakan perbincangan dan bertukar-tukar fikiran dalam pengetahuan dan pengalaman Sains.
Para peserta bengkel mengadakan perbincangan dan bertukar-tukar fikiran dalam pengetahuan dan pengalaman Sains.

Salah seorang guru dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan (Maktab Sains), Pengiran Fatimah yang menjadi guru kepada salah seorang peserta memberitahu, bengkel yang dianjurkan oleh pihak OGDC sangat berfaedah dan membantu meningkatkan kemahiran kalangan peserta pelajar, di samping meraih pengalaman melakukan eksperimen dengan seronok, dan dapat memupuk motivasi serta meningkatkan keyakinan diri para pelajar.

“Kami merakamkan penghargaan kepada OGDC atas inisiatif mengadakan bengkel ini, selain ianya bukan saja berguna untuk persiapan pertandingan malahan juga untuk pembelajaran Sains para pelajar,” ujar Dayang Zati Izni Fazreena binti Haji Mohd Hussin, juga guru dari Maktab Sains.

Sementara itu, salah seorang peserta pelajar dari Sekolah St Andrew, Megha Santosh Kumar berkata, melalui bengkel itu beliau mempunyai keyakinan dan percaya akan boleh mempengaruhi lebih ramai kawan-kawan berminat dalam bidang sains.

Selain itu, katanya lagi, bengkel itu juga telah membuka peluang untuk beliau berkomunikasi dalam apa jua cara secara berani dan berkeyakinan.

Melalui bengkel itu, OGDC berharap akan dapat membantu para guru dan pelajar dalam penyediaan rancangan sains mereka dengan lebih yakin dan boleh menghasilkan pertunjukan sains yang berkualiti nanti, di samping membantu guru-guru memberikan inspirasi kepada pelajar mereka untuk menerokai lebih dalam tentang Sains.

ARTIKEL YANG SAMA