Guru Pemangkin Insan Berwawasan

Guru Pemangkin Insan Berwawasan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Sept – Tidak dapat dinafikan peranan penting guru sebagai pendidik generasi baru untuk membentuk mereka menjadi individu yang berfikiran rasional, inovatif, kreatif dan mempunyai daya tahan fizikal dan mental.

Oleh itu, tema Sambutan Hari Guru 2015, ‘Guru Pemangkin Insan Ber-wawasan’, adalah satu komponen yang sangat signifikan di mana pendidikan merupakan tunjang utama dalam membangun peradaban bangsa dan mengembang majukan ekonomi sese-buah negara.

Melalui pendidikan juga, ia akan menentukan daya tahan sesebuah bangsa dalam mengharungi cabaran-cabaran global yang serba tidak menentu dan tidak dapat diramal.

Oleh itu, kesejahteraan bangsa dan daya-tahanan ekonomi bergantung kepada kualiti pendidikan mantap, yang mengimbangkan pendidikan duniawi dan ukhrawi.

Demikian menurut kenyataan Ke-menterian Pendidikan sebagai meng-huraikan tema Sambutan Hari Guru 2015, tahun ini.

Kenyataan itu berkata, tidak dapat disangkal bahawa pendidikan berkualiti bergantung kepada guru yang merupakan tonggak penting dan ejen perubahan sosial.

Sebagai pendidik, guru perlu berilmu dan memiliki sikap sosial yang baik, berintegriti dan berakhlak mulia. Dalam melaksanakan tugas, guru hendaklah sentiasa menjunjung profesionalisme keguruan, seorang yang dedikasi, titih, lutanan, ramah, dan patriotik untuk melahirkan bangsa yang baik, cerdas dan cemerlang.

Guru dituntut untuk meningkatkan kemampuan, kecekapan, intelektualisme dan kemahiran, baik dalam bidang pengajaran mahupun pembelajaran agar dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan cemerlang.

Bagi mendepani kehendak dan cabaran perubahan zaman, guru perlu dinamik dan pragmatik dalam aspek pengetahuan dan kemahiran supaya sentiasa relevan dan signifikan serta seiring dengan perkembangan dan perubahan zaman.

Pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki itu seharusnya dapat menciptakan suasana pembelajaran yang kondusif, melahirkan emosi positif dalam diri pelajar, budaya berfikir dan menaakul dan mendorong sifat ingin tahu.

Seterusnya, guru perlu berusaha untuk meningkatkan penguasaan, pemahaman dan kecerdasan pelajar sehingga pelajar menjadi insan yang percaya diri, yakin, gigih berusaha demi meraih kejayaan, dan berpandangan jauh.

Oleh itu, guru perlu menjadi pemacu motivasi dan inspirasi sehingga terbentuknya modal insan yang produktif, progresif, dan siap siaga untuk merealisasikan matlamat Wawasan Brunei 2035.

Maka, segala keringat dan bakti para guru wajar dihargai kerana segala khidmat bakti guru terhadap kemajuan pendidikan insan adalah sangat besar nilainya bersesuaian dengan tema sambutan hari guru 2015, iaitu “Guru Pemangkin Insan Berwawasan”.

Acara kemuncak Majlis Sambutan Hari Guru ke-25 akan diadakan esok (23 September) di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

ARTIKEL YANG SAMA