Guru pencetus kejayaan bimbingan

Guru pencetus kejayaan bimbingan

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Julai – Bagi menambah kemahiran guru-guru dalam bidang asas bimbingan dan kaunseling, Unit Kaunseling dan Kerjaya, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan telah mengadakan Kursus Asas Bimbingan & Kaunseling bagi Guru-guru Sekolah Menengah/Maktab dan Sekolah Rendah Senegara ke-21, 2016.

Kursus berkenaan telah diadakan selama 18 hari, dari 11 Mei hingga 2 Jun lalu dan telah disertai seramai 29 orang guru sekolah-sekolah kerajaan dan swasta di seluruh negara.

Sehubungan itu, Majlis Penyampaian Sijil Kursus Asas Bimbingan & Kaunseling berkenaan telah diadakan hari ini yang berlangsung di Hotel Starlodge, Jerudong.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Ketua Unit Pendidikan Khas di Kementerian Pendidikan, Haji Ali Yusri bin Haji Abdul Ghafor.

Majlis telah dimulakan dengan tetamu kehormat dibawa melawat menyaksikan pameran yang telah dihasilkan oleh para peserta kursus bagi menunjukkan kemahiran mereka dalam asas bimbingan dan kaunseling.

Haji Ali Yusri bergambar ramai bersama para peserta kursus dan AJK di majlis berkenaan.
Haji Ali Yusri bergambar ramai bersama para peserta kursus dan AJK di majlis berkenaan.
Haji Ali Yusri semasa menyaksikan pameran tersebut.
Haji Ali Yusri semasa menyaksikan pameran tersebut.

Pengerusi majlis, Ketua Unit Kaunseling dan Kerjaya, Jabatan Sekolah-sekolah, Haji Saili bin Haji Chuchu semasa berucap pada majlis itu menekankan bahawa kursus berkenaan merupakan program tahunan dan program sumber tenaga manusia bagi guru-guru di semua peringkat pendidikan.

“Kursus ini terkandung dalam catatan 100 jam latihan bagi guru-guru pada tahun ini,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, sejak kursus berkenaan mula diadakan pada tahun 1996, pihak Unit Kaunseling telah berjaya mengeluarkan/menghasilkan lebih kurang 900 hingga 1,000 orang lepasan kursus berkenaan.

“Sebilangan besar mereka telah pun dilantik sebagai kaunselor sepenuh masa, sebagai guru bimbingan dan membantu kaunselor yang berkelayakan.”

Beliau juga berharap guru-guru berkenaan dapat memegang peranan sebagai jentera penggerak kepada keberkesanan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah masing-masing bagi memastikan program-program yang bersesuaian dapat dirancang dan dilaksanakan untuk kepentingan pelajar, selaras dengan visi dan misi Jabatan Sekolah-sekolah dan juga Kementerian Pendidikan.

Majlis diteruskan lagi dengan ucapan terima kasih daripada wakil peserta kursus, Awangku Abdul Azim bin Pengiran Yusof dari Cahaya Tuition, dan juga dimeriahkan dengan persembahan tayangan video dan juga nyanyian oleh para peserta kursus sebelum kemuncak acara diadakan iaitu penyampaian sijil.

ARTIKEL YANG SAMA