Guru, pengawas UPSR dihantar gunakan bot

KUCHING, 13 Sept – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sri Aman hari ini membantu menghantar dua orang guru dan lapan pengawas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) ke dua buah sekolah di Engkilili, kira-kira 207 kilometer dari sini, selepas jalan menuju sekolah berkenaan dinaiki air pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sri Aman, Kapten Pertahanan Awam (PA) Siti Huzaimah Ibrahim berkata pihaknya menghulurkan bantuan selepas kenderaan ringan tidak dapat melalui jalan terbabit.

Katanya operasi penghantaran dilakukan oleh lima anggota menerusi Batang (Sungai) Undop  menggunakan bot.

“Proses bermula kira-kira 6.50 pagi, penghantaran pertama melibatkan seorang guru dan lima pengawas UPSR ke Sekolah Kebangsaan Ijok.

“Anggota kemudian meneruskan proses penghantaran kedua melibatkan seorang guru dan tiga pengawas ke Sekolah Kebangsaan Basi juga menerusi Batang Undop,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ketika ditanya keadaan cuaca di Engkilili ketika ini, Siti Huzaimah berkata secara keseluruhan cuaca adalah cerah. – Bernama