Guru penyuluh ilmu

Guru penyuluh ilmu

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Sept – Semua orang perlu berusaha mencari ilmu dan mempelajarinya sebanyak mungkin dan terus meningkatkannya dari semasa ke semasa.

Dalam menuntut ilmu, guru atau pendidik memainkan peranan yang sangat besar dan diperlukan untuk membimbing generasi seterusnya menjadi insan yang berilmu dan berakhlak mulia.

Khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini menyentuh mengenai ilmu dan guru sempena Sambutan Hari Guru di negara ini, menekankan bahawa taraf guru adalah mulia kerana guru mempunyai ilmu pengetahuan bagi mendidik seseorang menjadi insan yang berguna kepada bangsa dan Negara.

Untuk itu, sebagai mengiktiraf jasa mereka kepada pembangunan masyarakat dan negara, Sambutan Hari Guru diadakan setiap tahun, diserikan dengan anugerah guru cemerlang dan sebagainya yang diberikan kepada guru terpilih, tambah khatib.

Ini bagi menghargai jasa bakti guru yang berkualiti tinggi sehingga menyumbang kepada kecemerlangan pendidikan.

Khatib juga menegaskan, seseorang guru itu hendaklah bersifat mulia terhadap apa yang telah dipertanggungjawabkan kepada mereka. Ini kerana guru bijaksana akan dapat melahirkan generasi berwawasan yang akan mencorak kecemerlangan dan kegemilangan bangsa dan negara.

Menurut khatib lagi, guru yang berkualiti merupakan guru yang menjadi rol model kepada pelajar dan mempunyai akhlak mulia, sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan, bermotivasi, kreatif, inovatif dan efektif dalam pembelajarannya.

Guru-guru ini juga akan sentiasa berusaha memperbaiki mutu para pelajar mereka melalui pelbagai strategi dan kaedah pembelajaran yang berkesan.

Guru juga hendaklah tulus ikhlas dalam mendidik dan membimbing pelajar mereka, selain sabar dan tabah dalam menghadapi apa jua situasi dan kerenah anak didik mereka, tambah khatib.

Pelajar hari ini merupakan bakal pemimpin hari esok dan sebagai guru, adalah tanggungjawab mereka memastikan keimanan, keamanan dan kemakmuran dan jati diri yang dimuliakan bangsa Brunei dapat terus ditanai. Mereka juga perlu memperkukuhkan iltizam bagi memperkasa keupayaan bangsa.

Sehubungan itu, melihat besarnya jasa seseorang guru kepada masyarakat, bangsa dan negara, sudah sewajarnya mereka dihormati, dikasihi dan dihargai malah Islam memandang mulia tugas seorang guru dan mereka juga telah dijanjikan ganjaran yang sangat besar dari Allah.

“Jasa guru itu sangat besar dan amat bernilai kerana guru menjadikan kita insan yang pandai dan berilmu serta berguna kepada masyarakat, agama, bangsa dan negara,” tambahnya.

ARTIKEL YANG SAMA