Guru sandaran maut dibaham buaya

Guru sandaran maut dibaham buaya

LIMBANG, 24 Julai – Penduduk Kampung Lubuk Piasau yang terletak berseberangan dengan Kampung Binjai, hanya mampu menjerit meminta tolong sebaik menyaksikan seorang guru perempuan ditarik ke dalam sungai oleh seekor buaya dalam insiden menyedihkan yang berlaku awal pagi Subuh di sini semalam.

Mangsa, seorang guru sandaran Nurfazilah Abdul Rahman, 26, dari Kampung Binjai, Limbang meninggal dunia dipercayai lemas akibat amukan buaya tersebut yang menariknya ke dalam sungai dalam kejadian sekitar jam 5.30 pagi itu.

Mangsa yang juga seorang pelajar lepasan Universiti Teknologi MARA (UITM) Shah Alam dikatakan sedang mengambil air wuduk untuk bersembahyang Subuh sebelum ditarik ke dalam sungai oleh buaya terbabit.

Menurut abang mangsa, Mohamad Rasid Abdul Rahman 33, adik kandungnya kerap turun ke sungai untuk mandi dan mengambil air sembahyang sejak kebelakangan ini meskipun kampung mereka sudah dilengkapi dengan kemudahan air paip.

Jarak jambatan di tebing sungai itu katanya sekitar 50 meter dari rumah mangsa.

Pilu...Ibu mangsa kelihatan di sisi mayat anaknya yang dibawa paramedik ke hospital.
Pilu…Ibu mangsa kelihatan di sisi mayat anaknya yang dibawa paramedik ke hospital.

“Ketika kejadian, adik saya turun berseorangan untuk mengambil wuduk. Ketika sedang mengambil air wuduk, kami dikejutkan dengan jeritan daripada penduduk Kampung Lubuk Piasau yang terletak berseberangan dengan kampung kami.

“Sebaik mendengar jeritan itu, kami sekeluarga bersama penduduk kampung segera turun ke jambatan dan mendapati adik saya sudah dibawa ke dalam sungai oleh buaya terbabit,”katanya ketika ditemui media di Rumah Mayat Hospital Limbang semalam.

Mohamad Rasid berkata lagi mereka juga sempat menyelam untuk mencari mangsa namun gagal.

“Tidak lama selepas insiden itu, kami melihat kaki adik timbul dan kemudiannya ditenggelamkan lagi oleh buaya berkenaan.

“Tidak sampai 20 minit kemudian baru buaya itu melepaskan badan adik saya yang sudah tidak bernyawa, dari jarak 100 meter dari lokasi kejadian,”ujarnya yang masih bersedih dengan kejadian yang menyayat hati mereka sekeluarga terutama ketika masih dalam mood raya.

Jelasnya lagi adiknya dipercayai lemas dan didapati ada kecederaan di bahagian punggung mangsa akibat serangan buaya berkenaan.

Mohamad Rasid turut menceritakan mangsa sempat menggoreng ayam untuk dia dan keluarganya makan malam sebelum insiden itu berlaku.

“Saya cuma meminta adik saya menggorengkan dua kepak ayam tetapi mangsa bertegas untuk menggoreng banyak kepak ayam agar kami dapat makan puas-puas.

“Tidak sangka niat adik saya untuk memastikan kami kenyang merupakan kata-kata terakhir sebelum dia pergi buat selama-lamanya,”katanya sedih.