Guru sertai bengkel pengajaran efektif

Guru sertai bengkel pengajaran efektif

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Nov – Dalam usaha meningkatkan pengalaman tenaga akademik dengan pendedahan pedagogi dan metodologi cara mengajar yang lebih efektif dan relevan khusus buat guru-guru, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) telah mengadakan Bengkel Pedagogi Pengajaran Bagi Tenaga Akademik KUPU SB.

Perasmian bengkel selama tiga hari, bermula hari ini, itu telah disempurnakan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yusof selaku tetamu kehormat majlis yang berlangsung di Dewan Ta’lim, KUPU SB.

Turut hadir ialah Ra’es KUPU SB, Dr. Hajah Masnon binti Haji Ibrahim, Timbalan Ra’es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar, Pemangku Penolong Ra’es, Dr. Hajah Norhira binti Haji Norkaseh serta Pemangku Pendaftar, Pengiran Anak Damit Baharuddin bin Pengiran Safiuddin.

Bengkel yang julung-julung kali diadakan ini disertai lebih 40 orang tenaga akademik KUPU SB dan akan berjalan sehingga 21 November ini.

Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz dalam ucapannya pada majlis itu berkata, graduan KUPU SB yang menjadi pendidik anak bangsa Brunei haruslah mempunyai sahsiah berjati diri guru Melayu Islam Beraja (MIB).

Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz (tengah) bersama para jemputan lainnya pada majlis pelancaran bengkel tiga hari tersebut.
Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz (tengah) bersama para jemputan lainnya pada majlis pelancaran bengkel tiga hari tersebut.
Dr. Haji Adanan ketika menyampaikan ucapannya pada perasmian bengkel berkenaan.
Dr. Haji Adanan ketika menyampaikan ucapannya pada perasmian bengkel berkenaan.

“Mereka sewajarnya menguasai isi pelajaran dengan baik, kemahiran pedagogi yang tinggi serta kepimpinan yang jitu dalam profesion mereka. Graduan pendidik harapan negara ini Insya Allah akan dapat dilahirkan dengan didikan para staf akademik KUPU SB.”

Beliau menyeru semua staf akademik dan urus tadbir KUPU SB agar sentiasa ingat akan falsafah dan misi KUPU SB iaitu untuk memartabatkan pengajian perguruan agama bagi melahirkan pendidik melalui pengintegrasian ilmu, latihan, kajian, perkhidmatan, keterampilan, teknologi dan jati diri berasaskan prinsip-prinsip Islam dan falsafah pendidikan negara.

Menurut beliau lagi, staf akademik merupakan pihak yang memainkan peranan utama dalam merealisasikan misi berkenaan dan mereka mestilah bersifat profesional serta memiliki kemahiran yang tinggi dalam pedagogi supaya para pelajar yang dibimbing bukan saja memiliki sahsiah yang soleh malah mampu memberikan pengajaran berkesan.

Sementara itu, Dr. Haji Adanan menjelaskan, bengkel ini adalah untuk mengukuhkan lagi pengalaman pedagogi di samping meningkatkan lagi motivasi, inovasi dan kreativiti dalam pengajaran seharian sebagai seorang pensyarah.

Bengkel ini diharap dapat membantu para peserta untuk membahaskan, menilai sendiri serta menghalusi kemahiran asas dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, kurikulum serta kemahiran mengajar abad ke-21 bagi guru-guru pengajian Islam.

Ia diisikan dengan topik-topik yang berkaitan dengan kemahiran pedagogi bagi tenaga akademik dalam konteks mengajar guru pelatih berasaskan Al-Quran dan Hadis.

Antara pengisian bengkel ini termasuk pengajaran berkesan dalam konteks guru pelatih KUPU SB, adab dan sahsiah tenaga akademik, konsep pedagogi, pengajaran dan pembelajaran guru dan lain-lain.

Pendekatan bengkel ini dibuat secara penerangan, demonstrasi, penyelesaian masalah, perbincangan, simulasi, soal jawab serta kerja individu dan berkumpulan.

ARTIKEL YANG SAMA