Guru tampar pelajar didenda $5,000

Guru tampar pelajar didenda $5,000

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Nov – Kesalahan menampar seorang pelajar berusia 13 tahun pada 2011 mengundang padah kepada seorang guru sandaran apabila dijatuhi hukuman denda $5,000 oleh Mahkamah Majistret, hari ini.

Abdul Mansyor Jalilah bin Haji Ishak, 28, yang ditugaskan untuk mengajar di Sekolah Menengah Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) ketika itu, didakwa telah mencederakan seorang pelajar (mangsa) yang menuntut dalam Tahun 7.

Tertuduh memberi alasan ‘kurang berpengalaman’ yang menyebabkannya hilang pertimbangan ketika itu.

“Itu bukanlah satu alasan kerana seorang guru sepatutnya mempunyai sifat sabar jika berdepan dengan pelajar sekolah, dan apa yang kamu lakukan itu tidak dapat diterima,” kata Ketua Majistret Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli.

Jika gagal membayar denda, tertuduh akan dipenjarakan selama enam bulan.

pg06_151106_mahkamah logo

Menurut fakta kes, pada 6 Oktober 2011 sekitar jam 12:10 tengah hari ketika tertuduh bercakap mengenai keputusan peperiksaan subjek ugama, mangsa mengangkat tangannya untuk mendapatkan perhatian sambil memanggil ‘cikgu’ beberapa kali.

Perbuatan mangsa itu membuatkan tertuduh berasa marah dan membaling pembaris ke arahnya, dan terkena meja berdekatan dengan mangsa.

Tertuduh kemudian menghampiri mangsa dan memarahinya, dan terus menamparnya di bahagian kiri muka (dekat telinga) sebanyak tiga kali.

Akibat tamparan daripada guru itu, mangsa mengalami rasa sakit dan turut hilang pendengaran sementara di telinga kiri.

Tertuduh kemudian menyuruh mangsa keluar dan berdiri di kawasan pagar berdekatan dengan padang sekolah sehingga loceng berbunyi.

Sebaik pulang, mangsa memberitahu ayahnya mengenai kejadian tersebut dan telah membuat laporan polis mengenainya.

Mangsa kemudian dibawa ke hospital Tutong dan doktor yang membuat pemeriksaan mengesahkan dia mengalami hilang pendengaran di bahagian telinga kiri disebabkan tamparan itu.

ARTIKEL YANG SAMA