Guru tertembak murid ketika bersihkan pistol

Guru tertembak murid ketika bersihkan pistol

PESHAWAR 12 Jun (AFP) – Seorang guru di pedalaman Mingora, di barat laut Pakistan secara tidak sengaja menembak mati seorang murid berusia 12 tahun, ketika dia sedang membersihkan pistolnya di dalam bilik guru, semalam.

Guru-guru di barat laut Pakistan dibenarkan membawa senjata api ke bilik darjah selepas kumpulan militan Taliban membunuh 132 murid di sekolah tersebut pada Disember lalu.

“Guru berkenaan, Majid Khan sedang membersihkan pistol di bilik darjah tetapi secara tidak sengaja melepaskan tembakan dan terkena seorang pelajar yang melalui kawasan koridor di bilik guru itu,” ujar seorang pegawai polis, Fazl Rabi.

Menurut Fazl, pelajar tersebut meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Peshawar, Saleem Khan Marwat berkata, guru tersebut telah ditahan untuk siasatan.

Januari lalu, semua guru di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, barat laut negara ini dibenarkan membawa senjata api dan diberikan latihan menembak kerana pihak berkuasa tidak menyediakan pengawal keselamatan di sekolah.

ARTIKEL YANG SAMA