Guru tuisyen cipta ‘sejarah melodi’ bantu pelajar kuasai sejarah

Guru tuisyen cipta ‘sejarah melodi’ bantu pelajar kuasai sejarah

KUALA LUMPUR – Mungkin ramai pelajar beranggapan Sejarah adalah mata pelajaran yang agak membosankan dan sukar dikuasai kerana melibatkan banyak pembacaan dan penghafalan secara berterusan. Namun, kini mempelajari Sejarah bukan lagi sekadar membaca, menghafal dan memahami malah ia boleh juga dinyanyikan sebagai sebuah lagu yang sangat menghiburkan!

Lagu ‘Sejarah Melodi’ yang direka khusus berdasarkan silibus buku teks Sejarah Tingkatan 4 dan 5 itu, adalah inisiatif kreatif daripada Vulcan Chong Weng Hon, 25, guru sebuah pusat tuisyen terkemuka (Pusat Tuisyen Super Education Group), di Taman Taynton View, Cheras. Dengan hanya berbekalkan gitar klasik dan buku teks sejarah, setiap topic atau bab yang ada digubal dengan lagu-lagu popular yang menjadi trend terkini golongan muda.

Menurut Chong, idea untuk mencipta lagu daripada silibus buku teks Sejarah itu terhasil sejak bulan Mac lepas bertujuan bagi memudahkan pelajar-pelajarnya memahami jalan cerita dalam mata pelajaran itu.

“Ramai pelajar yang tidak meminati mata pelajaran Sejarah kerana ia melibatkan pemahaman dan penghafalan nama-nama khusus yang asing bagi mereka dan jalan cerita yang kadangkala agak rumit. Melalui nyanyian, ia bukan sahaja dapat mengukuhkan daya ingatan mereka terhadap jalan cerita sesuatu kejadian yang berlaku pada zaman lampau malah turut menjadikan proses pembelajaran itu menghiburkan,” katanya kepada Bernama.

Gubal semula lagu popular

Kebiasaannya, Chong akan menggunakan tempoh dua minggu bagi menggubal sebuah lagu popular mengikut setiap bab dalam silibus mata pelajaran Sejarah SPM. Antara lagu-lagu popular yang pernah digubalnya adalah ‘Eyes, Nose, Lips’, ‘Just The Way You Are’ dan ‘Doraemon’. “Pada mulanya, saya akan menyelitkan beberapa perkataan bahasa Mandarin dalam lirik lagu saya bagi memudahkan pemahaman pelajar-pelajar saya yang kebanyakannya berbangsa Cina.

Mempelajari Sejarah kini bukan lagi sekadar membaca, menghafal dan memahami malah ia boleh juga dinyanyikan sebagai sebuah lagu yang sangat menghiburkan. – Bernama
Mempelajari Sejarah kini bukan lagi sekadar membaca, menghafal dan memahami malah ia boleh juga dinyanyikan sebagai sebuah lagu yang sangat menghiburkan. – Bernama

“Namun, setelah memuat naik video pertama ke dalam YouTube, saya mendapati ada pelajar bukan Cina yang turut berminat dengan video tersebut dan memberi ‘feedback’ untuk saya menggunakan lirik bahasa Melayu. Jadi, dari situlah saya terus bersemangat untuk menggubal lebih banyak lagu-lagu dengan lirik berbahasa Melayu kerana buku teks Sejarah ditulis dalam bahasa Melayu,” katanya.

Lulusan Pengurusan Perniagaan dari Uptrend Business School, Singapura itu berkata selepas videonya viral di media sosial sejak Ogos lepas, beliau menerima banyak ‘feedback’ positif sama ada dari calon-calon SPM mahupun guru sekolah. “Kebanyakan pelajar menyukai video ‘Sejarah Melodi’ itu kerana ia banyak membantu mereka mengukuhkan daya ingatan terhadap Sejarah terutamanya ketika saat-saat akhir peperiksaan.

Katanya, idea untuk menghasilkan lagu mengikut silibus pengajaran sudah lama difikirkan sejak zaman persekolahannya lagi. Ketika saya mengulangkaji pelajaran, saya terfikir untuk menjadikan apa yang saya faham dalam buku teks sebagai lagu, namun ketika itu saya tidak boleh bermain sebarang alat muzik.

Pengajaran dan pembelajaran kreatif

Chong berpendapat para guru harus mencuba kaedah pengajaran secara interaktif dan kreatif bagi membantu memudahkan pemahaman pelajar dalam proses pembelajaran.

“Saya mendapati ramai ibu, bapa dan pelajar terlalu ‘exam oriented’ iaitu mengejar gred ‘A’ dalam peperiksaan mereka menggunakan kaedah pembelajaran yang ‘jumud’ seperti menghafal kesemua isi kandungan dalam buku teks atau pun nota rujukan mereka. Ada dalam kalangan mereka turut menghafal secara membuta tuli iaitu langsung tidak memahami isi kandungan pembacaan mereka, ini sangat menyedihkan.

“Dengan menggunakan kaedah pembelajaran kreatif dan menarik, ia bukan sahaja dapat memudahkan pemahaman pelajar malah menambah ilmu pengetahuan mereka terhadap pelbagai mata pelajaran dengan tidak hanya bertujuan untuk menghadapi peperiksaan semata-mata,” katanya.

Semangat membantu pembelajaran ketika waktu lapang

Sebagai guru tuisyen, Chong tidak kisah untuk meluangkan masa lapangnya membantu pelajarnya menyelesaikan masalah dalam mengulang kaji pelajarannya terutamanya menjelang peperiksaan SPM. “Kebanyakan pelajar saya suka mengulang kaji pada waktu tengah malam dan kadangkala kami berinteraksi melalui Whatsapps dan Facebook untuk menjawab segala permasalahan yang dihadapi oleh mereka.

“Saya tidak kisah untuk meluangkan masa membantu mereka asalkan dapat memastikan mereka berjaya memperoleh apa yang mereka mahu dalam akademik mereka,” katanya.

Menurut Chong, beliau akan meneruskan penggubalan muzik dalam beberapa topik yang masih belum diselesaikan dalam mata pelajaran Sejarah SPM pada masa akan datang. “Bagi mana-mana bakal calon SPM yang ingin menguasai mata pelajaran Sejarah secara kreatif, mereka boleh menghubungi saya di Facebook ‘Vulcan Chong’ ataupunmenonton video ‘Sejarah Melodi’ saya menerusi Youtube di bawah nama ‘Vulcan Chong,” katanya. – Bernama