Gusmao harap rakyatnya bekerja di Malaysia

Gusmao harap rakyatnya bekerja di Malaysia

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) – “Negara kami menghadapi cabaran besar untuk mewujudkan peluang pekerjaan bagi golongan belia,” kata bekas Presiden dan bekas Perdana Menteri Timor-Leste Kay Rayla Xanana Gusmao, yang mahu memperkasakan mereka untuk menikmati kehidupan lebih baik.

Dalam konteks ini, Gusmao yang juga Menteri Perancangan dan Pelaburan Strategik sejak Februari 2015, berkata Timor-Leste berminat untuk menghantar rakyatnya ke Malaysia untuk bekerja dalam pelbagai sektor termasuk sebagai pembantu rumah.

Gusmao berkata walaupun Timor-Leste masih sebuah demokrasi baharu yang mencapai kemerdekaan pada 2002, beliau sememangnya amat mengambil berat tentang belia di republik itu kerana ramai masih menghadapi prospek yang suram untuk mencari peluang pekerjaan di negara itu.

“Kami berazam untuk memperbaiki taraf ekonomi, sosial dan meningkatkan taraf kehidupan rakyat,” kata beliau dalam temu bual dengan Bernama di ibu pejabat agensi berita itu di sini semalam.

Beliau berkata pendekatan Timor-Leste adalah berdasarkan kerajaan dengan kerajaan yang antara lain juga mengikut model Korea Selatan, apabila belia tempatan dihantar ke Korea untuk mengikuti latihan praktikal yang disediakan oleh pelbagai agensi Korea, sebelum diambil untuk melakukan pelbagai kerja di sana.

Xanana Gusmao (kiri) ketika ditemu bual peneraju program The Nation di Wisma Bernama hari ini. – Bernama
Xanana Gusmao (kiri) ketika ditemu bual peneraju program The Nation di Wisma Bernama hari ini. – Bernama

“Jika Malaysia memberi kami peluang untuk menghantar rakyat kami bekerja di sini (di Malaysia), kami akan menjemput agensi-agensi Malaysia datang ke Timor-Leste dan melatih belia kami bagi memenuhi pasaran kerja di Malaysia,” tambah Gusmao.

Gusmao berkata, Jepun dan Korea Selatan adalah antara negara yang belia Timor-Leste menjalani latihan kemahiran yang diperlukan sebagai persediaan untuk menceburi pasaran kerja.

“Ramai telah kembali dengan kemahiran dan pengetahuan tambah nilai dan bersedia untuk memanfaatkan sepenuhnya kepakaran mereka.

“Melalui cara itu, mereka boleh menjimatkan wang apabila bekerja dengan mempunyai kelebihan apabila mempunyai asas latihan yang baik dan pada masa yang sama mempelajari etika kerja dunia dan mempunyai kelayakan,” kata Gusmao selaku Presiden Timor-Leste yang pertama.