Guterres akan dilantik sebagai setiausaha agung PBB

Guterres akan dilantik sebagai setiausaha agung PBB

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB), Amerika Syarikat (AS), 13 Okt – Perhimpunan Agung PBB hari ini akan melantik Antonio Guterres sebagai setiausaha agung baru bagi PBB, yang mewujudkan peralihan ke arah kepimpinan yang lebih reformis dan menonjol di badan dunia itu.

Bekas perdana menteri Portugal itu, yang juga adalah ketua orang pelarian PBB tidak akan mengambil alih jawatan itu dari Ban Ki-moon sehinggalah 1 Januari, tetapi beliau telah pun berdepan jangkaan tinggi sebagai ketua diplomat baru dunia.

Para diplomat PBB berkata mereka menjangka Guterres – bekas pemimpin kerajaan pertama yang menyandang jawatan ini – akan merombak badan dunia itu dan memainkan peranan lebih penting dari Ban, bekas menteri luar Korea Selatan yang terkenal dengan gaya kurang menonjol beliau.

Duta Perancis Francois Delattre menyifatkan Guterres sebagai ‘kapten yang terbaik mungkin ketika tempoh krisis sejagat yang bergolak ini, dengan memujinya sebagai seorang reformis, penyatu dan berperikemanusiaan dengan lingkungan moral yang tulen.”

“Sebagai ketua UNHCR, Guterres telah memperlihatkan bahawa beliau adalah lelaki yang mencari interaksi dan melibatkan diri,” ujarnya lagi.

Ketika menjadi perdana menteri Portugal dari tahun 1995 hingga 2002, dan sebagai Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi orang pelarian dari 2005 hingga Disember 2015, Guterres telah memperlihatkan bahawa ‘beliau adalah seorang reformis,” kata Duta Britain Matthew Rycroft.

“Beliau mampu melaksanakan kedua-dua kepimpinan luar, wawasan, inspirasi, penetapan hala tetapi juga reformasi dalaman untuk menjana kecekapan, untuk meningkatkan lagi proses dan untuk menjadikan keseluruhannya lebih dari bahagiannya,” katanya lagi.

Hari ini, 193 negara anggota akan membentuk resolusi empat perenggan yang melantik Guterres sebagai setiausaha agung kesembilan PBB bagi tempoh lima tahun. – AFP